Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dia akan mencadangkan kepada majlis presiden PH untuk menilai semula pendirian sebelum ini agar negeri yang ditadbir oleh gabungan itu menghabiskan penggal sebelum membuat pilihan raya.
Loke berkata, PH sebelum ini menjangka PRU diadakan lebih awal namun dengan kebarangkaliannya kian rendah, gabungan itu perlu menimbang untuk mengadakan pilihan raya bagi Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan secara serentak jika Parlimen dibubarkan selepas November.
"Sebelum ini kita kita jangka dibuat pilihan raya mengejut tetapi kini kita lihat kebarangkaliannya rendah.
"Ada banyak spekulasi mengatakan paling awal, pilihan raya umum hanya akan diadakan akhir tahun ini, selepas pembentangan belanjawan.
"Jika ia diadakan akhir tahun, hanya tinggal beberapa bulan untuk tamat penggal (pentadbiran) engeri. Jadi jika PRU diadakan pada akhir tahun, saya berpandangan yang kita tidak patut buat pilihan raya berasingan," katanya ketika sidang media di Seremban hari ini.
Bagi Loke, jika jurang masa antara PRU dan pilihan raya di negeri ditadbir PH terlalu kecil, kemungkinan ada beberapa perkara yang tidak berpihak kepada mereka.
"Jika pilihan raya dibuat berasingan dan (perbezaan) tempoh masa tidak lama, mungkin ada pengundi rasa kita bazirkan sumber.
"Saya akan cadangkan kepada majlis presiden PH agar kalau PRU diadakan selepas November, maka (pilihan raya di) Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang juga seharusnya dibuat serentak," katanya lagi.
Loke berkata dia menyuarakan perkara itu agar akar umbi PH bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya.
"Kita perlu beri mesej jelas kepada akar umbi kita. Jika tidak, mereka mungkin tidak bersedia dan tidak melihat perlunya kesegeraan.
"Hari ini, kita jelas memberitahu akar umbi kita yang jangan andaikan yang kita ada masa setahun sebelum pilihan raya diadakan kerana keputusan sebelum ini.
"Kerana jika PRU dilaksanakan selepas November, maka kita perlu menimbang untuk mengadakan pilihan raya negeri secara serentak," katanya lagi.
Pada Julai lalu, majlis presiden PH mengumumkan DUN negeri yang ditadbir gabungan itu tidak akan dibubarkan jika pilihan raya umum dibuat secara mengejut.
Pada masa itu, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin berdepan krisis kestabilan dan pilihan raya umum dicadangkan sebagai penyelesaian.
Kini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga berdepan tekanan daripada kepimpinan partinya, Umno untuk menyegerakan pilihan raya.