Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Rakyat perlukan solusi bukan formula Rafizi
Diterbitkan:  Jun 26, 2022 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Rakyat tidak perlukan formula yang diperkenalkan Rafizi Ramli, sebaliknya mahukan solusi kepada permasalahan yang dihadapi ketika ini, kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

"Rafizi Ramli memperlekehkan cadangan Umno untuk menubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan bagi menangani kos sara hidup dan masalah sekuriti makanan negara.

"Beliau katakan cadangan tersebut akan membazir wang rakyat dan menambah lagi karenah birokrasi.

"Tapi beliau sendiri pula mencadangkan untuk mewujudkan satu badan bebas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan. Tidakkah itu akan menambah lagi birokrasi dan sedikit sebanyak menggunakan wang rakyat," katanya pada satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Rafizi menyifatkan cadangan Umno agar sebuah lembaga kebangsaan ditubuhkan bagi menangani isu peningkatan harga ayam sebagai satu jenaka.

"Idea Umno untuk menangani masalah kenaikan kos makanan dan sara hidup ialah dengan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Kebangsaan. Selepas ini apabila harga kambing pula naik, Umno akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan.

"Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain," kata Rafizi yang baru menang jawatan timbalan presiden PKR itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata bukan kali pertama Rafizi memberikan cadangan atau kritikan sedemikian, sebagaimana manifesto pilihan raya PH menawarkan tol percuma, pendidikan percuma dan segala macam kaedah mengurus kewangan negara dengan lebih baik.

"Tetapi apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, semuanya hanya tinggal janji. Kata mereka hutang tetap hutang, dan manifesto bukan kitab suci.

"Tak seperti Umno. Terutama sekali dalam isu isu sekuriti makanan, kita sentiasa konsisten. Seperti yang saya cadangkan sebelum ini, perlu ada koordinasi rentas kementerian melalui pengaktifan semula Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan melaksanakan pakej-pakej bantuan yang bersasar berteraskan data terkini kepada golongan memerlukan.

"Rakyat perlukan solusi kepada permasalahan mereka. Rakyat tidak kisah tentang formula. Terutama sekali formula daripada Rafizi bersama PH sendiri tumbang selepas 22 bulan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS