Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan pegawai 'mengular': JPM minta kerjasama pemilik akaun TikTok
Diterbitkan:  Jun 26, 2022 11:21 AM
Dikemaskini: 3:30 AM

Jabatan Perdana Menteri (JPM) memohon kerjasama pemilik akaun media sosial yang membuat video dengan mendakwa pekerja kerajaan ponteng ketika dia ke jabatan itu awal bulan ini.

Unit komunikasi korporat JPM berkata sehinggga hari ini tiada sebarang aduan rasmi diterima JPM mengenai perkara itu.

Sehubungan itu katanya, pemilik akaun tersebut diminta segera menghubungi JPM melalui emel [email protected] atau talian 03-88723430 dengan mengemukakan butiran lanjut kejadian di kaunter JPM seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.

"Maklumat seperti tarikh, masa dan lokasi kejadian sangat diperlukan bagi memudahkan siasatan.

"JPM sentiasa komited dan berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan," kata JPM dalam hantaran di Facebook, malam tadi.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang wanita yang menggunakan akaun TikTok marythehighness yang menyelar pekerja kerajaan, mendakwa mereka malas dan tidak amanah.

Video yang dimuatnaik pada 3 Jun lalu itu antara lain mendakwa tiada pegawai di kaunter penyambut tetamu JPM ketika dia melawat jabatan itu.

Selepas lama menunggu, dia mendakwa telah dimaklumkan oleh pegawai lain bahawa kakitangan kerajaan sudah keluar rehat sedangkan ia baru jam 12 tengah hari.

Wanita itu berkata dia kemudian pergi makan tengah hari di sebuah kafeteria di bangunan kerajaan yang lain.

Dakwanya, ramai pelanggan yang dikatakan kakitangan kerajaan tidak keluar untuk kembali bekerja walaupun waktu rehat berakhir pada pukul 2 petang.

Dia juga berkata tidak bermoral bagi pegawai kerajaan yang dibayar gaji oleh rakyat dan diamanahkan untuk berkhidmat, tetapi tidak menjalankan tugas mereka dengan amanah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS