Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PIBGN: Peratusan prestasi SPM ada tak kena, perlu diperbaiki

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Mohamad Ali Hassan berkata kerajaan tidak boleh hanya menerima hakikat berhubung prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seperti jumlah ketidakhadiran calon dalam peperiksaan.

Menyuarakan kebimbangannya, Mohamad Ali berkata peratusan data yang dipaparkan dalam Laporan Analisis Keputusan SPM pada 2019, 2020 dan 2021 perlu diperbaiki.

“Saya rasakan mesti ada tak kena dan bolehkah kita menerima hakikat setiap 100 pelajar yang mengambil peperiksaan, seramai 12 orang pelajar tidak mendapat sijil atau gagal menikmati pendidikan asas yang diperlukan.

“Saya rasakan peratusan tersebut patut dikurangkan lagi.

“Bagaimana masa depan dan kerja pelajar-pelajar tercicir ini? Apakah sebab sebenar pelajar-pelajar gagal mendapat sijil asas yang diperlukan?” soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Data itu menunjukkan, daripada 416,416 calon yang mendaftar pada 2019, seramai 26,918 atau 6.46 peratus daripada calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Pada 2020 pula, seramai 19,211 atau 4.79 peratus daripada 401,105 calon yang mendaftar gagal hadir untuk menduduki SPM.

Seramai 51,725 atau 13.28 peratus calon tidak berjaya mendapatkan sijil SPM pada 2019 dan 43,235 atau 11.32 peratus lagi tidak berjaya mendapatkan sijil SPM pada 2020.

Manakala, sejak 2019 sahaja, seramai 211,556 calon peperiksaan SPM dikategorikan sebagai keciciran sama ada kerana tidak hadir menduduki peperiksaan tersebut atau gagal mendapatkan sijil ekoran tidak lulus subjek Bahasa Melayu ataupun Sejarah.

Kesiap-siagaan guru mengajar dalam talian

Mohamad Ali turut mempersoalkan bahawa adakah negara perlu rasa selesa apabila hampir 12 peratus pelajar tidak memperoleh SPM.

Katanya, kerajaan perlu mencari penyelesaian terhadap keciciran pelajar supaya kualiti pelajar dapat dipulihkan.

“Adakah PKP (perintah kawalan pergerakan) alasan penurunannya, di mana (capaian internet) sukar untuk diakses dan peralatan diperlukan (tidak mencukupi) untuk pembelajaran atas talian?

“Adakah guru-guru telah bersiap-siaga mendidik secara atas talian?” soalnya.

Pada 23 Jun, pertubuhan NGO Untuk Malaysia berkata, pihak yang berkenaan sepatutnya wajib tampil memberikan penjelasan sekali gus mencari jalan penyelesaian agar keciciran yang konsisten saban tahun tidak menjadi norma baru pascapandemik.

Ini kerana menurutnya, peratusan yang konsisten untuk calon yang mendaftar tetapi tidak hadir sejak tiga tahun lepas serta peratusan yang konsisten untuk calon yang gagal mendapatkan sijil untuk tempoh sama ini memberi gambaran bahawa krisis pendidikan nasional berada pada situasi yang berbahaya untuk pertumbuhan negara di masa depan.

Pada 21 Jun, Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata isu ketidakhadiran calon bukanlah suatu isu baru malah angka sekitar 10,000 calon tidak hadir pada peperiksaan tahun lepas adalah lebih kurang sama dengan angka dicatatkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Walaupun beberapa faktor menyumbang kepada keputusan calon tidak menduduki peperiksaan tersebut telah dikenal pasti sebelumnya, Radzi berkata pihaknya akan menjalankan satu analisis untuk mengenal pasti pendekatan menyeluruh dalam memastikan perkara ini tidak berlarutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS