Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kebun bandar jimat tapi bukan untuk jana pendapatan sampingan

CY Phang seorang peniaga makanan sedar bahawa harga barangan semakin meningkat. Tidak banyak yang boleh dilakukannya melainkan bercucuk tanam dan menggunakan hasil tanamannya itu di dalam masakannya.

Bagaimanapun, sebagai seorang yang bergiat secara aktif dalam aktiviti kebun bandar, dia berpendapat aktiviti itu hanya dapat menjimatkan wang tetapi bukan untuk tujuan menjana pendapatan sampingan.

“Saya tak rasa ia boleh menjana sedikit pendapatan sampingan.. tapi ia mungkin dapat menjimatkan duit,” katanya kepada Malaysiakini.

Antara tanamannya merupakan halia, pandan, cekur dan daun pasli. Sebagai seorang cikgu memasak yang mempunyai latar belakang dalam jurusan hortikultur dari Universiti Putra Malaysia, dia amat teliti dan menitiberatkan penjagaan tanamannya yang ditanam di kawasan kondominium yang didiaminya.

Pada masa sama, dia juga mengadakan kelas tanaman dan memasak yang banyak berkisarkan budaya menanam.

“Yang itu boleh menjana wang. Tanam dan gunakan dalam penghantaran (makanan). Dari situ saya lihat ia dapat menjana wang - tak jual secara langsung, melainkan kamu ada kebun sendiri dan jualnya dalam kuantiti yang besar.

“Ia menjadi nilai tambah dalam perniagaan anda - makanan yang dimasak menggunakan herba-herba yang ditanam sendiri, organik,” katanya.

Kekangan kesuburan tanaman

Menyifatkan Malaysia sebagai negara pengimport makanan walaupun mampu membekalkan sepenuhnya untuk rakyat negara ini, dia melihat aktiviti kebun bandar di kawasan-kawasan perumahan perlu digalakkan lagi.

“Kita tiada kebun di kawasan-kawasan bandar yang berasaskan tanah. Sebab itu kita mendekati mereka yang tinggal di bandar di Kuala Lumpur dan Petaling jaya, yang kebanyakannya kebun tertutup (indoor farms),” katanya.

Bagaimanapun, dia mencadangkan agar terdapat teknologi dan maklumat yang sesuai, selain kaedah hidroponik bagi mengatasi kekangan kawasan bertanah untuk kegiatan aktiviti kebun bandar.

Ini kerana selain kekangan kawasan bertanah, menurutnya keadaan yang panas disebabkan kawasan konkrit turut menjadi cabaran untuk memastikan kesuburan tanaman.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata setiap tahun Malaysia merekodkan lebih RM50 bilion import bahan makanan asas, dengan barangan seperti beras sebanyak 30 peratus, daging lembu 78 peratus, daging kambing hampir 90 peratus dan sayur kobis bulat 60 peratus.

Ismail Sabri berkata dia juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak berlakunya krisis makanan di negara ini susulan isu seperti konflik Rusia-Ukraine.

Phang bagaimanapun, mengalu-alukan cadangan menggalakkan orang ramai untuk menanam tanaman sendiri, tetapi mengingatkan bahawa ia bukanlah untuk menjana pendapatan kerana ia pada awalnya tidak dirancang dengan baik, melainkan ruang sedia ada seperti di kawasan tertutup atau kawasan bumbung bangunan digunakan sebaik mungkin.

“Ia memerlukan sokongan daripada kerajaan,” katanya.

Pupuk dari kecil

Sementara itu, bagi memupuk kepentingan budaya menanam, Presiden Selangor & Federal Territory Association for The Mentally Handicapped (SAMH) Zaiton Rahim melihat ia perlu dipupuk di kalangan pelajar.

NGO yang diterajuinya itu mengadakan program bercucuk tanam melatih kanak-kanak seawal usia enam tahun hinggalah warga emas yang berusia 70 tahun.

Antara tanaman yang menumpukan kebajikan bagi membantu kurang upaya mental merupakan 25 terung, enam set tanaman bayam Brazil hidroponik, 200 blok cendawan tiram dan 45 pokok cili. SAMH mempunyai tiga cawangan iaitu di ibu pejabatnya di Brickfields, Kuala Lumpur, Klang dan Jinjang.

“Kebun bandar di sini (Brickfields) bermula pada Januari lalu. Di Klang dah lama… dalam 10 tahun sebab kami ada tanah di situ.

“Ia untuk aktiviti-aktiviti latihan untuk pelajar-pelajar, dan untuk kantin, dan juga untuk menjana pendapatan (dengan) menjualnya kepada ibu bapa,” katanya bahawa aktiviti bercucuk tanam juga dapat membantu ekonomi negara secara tidak langsung.

Menceritakan lebih lanjut mengenai tanamannya di cawangan-cawangannya, Zaiton berkata mereka menggunakan kawasan sedia ada sebaik mungkin.

Katanya, organisasi yang juga dijadikan sebagai sekolah bercucuk tanam itu setakat ini telah menjana RM2,000 daripada hasil jualan sayuran.

Tambahnya, alatan bercucuk tanam yang paling mahal digunakan di seluruh kawasan tersebut merupakan sistem hidroponik, dengan kos RM1,200 setiap set, di mana SAMH mempunyai enam set dan kesemuanya ditanggung oleh sumbangan orang ramai.

Zaiton berkata, faktor utama yang membuatkan badan itu terus hidup adalah kerana bantuan kewangan utama melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sumbangan daripada orang ramai.

Jelasnya, aktiviti berkebun hari ini tidak perlu bergantung kepada kawasan tanah yang luas tapi hanya boleh melalui pasu, bongkah dan polibeg dengan kos yang rendah di balkoni.

“Kalau cendawan cepat balik modal. Dalam sebulan je dah balik modal,” katanya yang memberitahu bahawa mereka perlu lakukan sesuatu untuk menjana pendapatan, memandangkan bantuan Covid-19 dari kerajaan masih belum diterima.

Demi kebersihan, kesihatan

Bagi Asmahan Abdul Aziz, 77, pula, aktiviti menanam di balkoni rumahnya lahir dari hobinya sendiri yang tercetus sejak 1985, ketika di kediaman lamanya sebelum berpindah di kondominium di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“Dulu rumah saya 10,000 kaki persegi punya tanah dekat Kelana Jaya…Semua boleh tanam, mangga, cempedak, durian, nangka, dokong, semua cili saya tanam.

“Jadi sekarang saya 77 tahun. Saya jual rumah di Kelana Jaya tu pasal saya sakit lutut dan kemudian saya buat pembedahan ganti besi dua-dua (lutut) ni,” katanya.

“Berkebun ni daripada dulu hobi saya. Selain pokok-pokok bunga, anggur pun saya tanam. Jadi, bila dah pindah ke kondominium ni, saya masih ada hobi tu.. Jadi saya tanamlah kat balkoni,” katanya.

Katanya, walaupun jumlah tanamannya tidak sebanyak seperti ketika di kediaman dahulu, tetapi ia mampu memuatkan 45 buah pasu di kondominiumnya.

Antara pokok yang ditanamnya pokok tin, nenas, serai, pandan, pokok-pokok herba, bayam, pucuk manis, daun kaduk, brokoli dan lada benggala.

“Zaman 1980an mana ada barang mahal semua.. saya suka tu (berkebun) sebab saya tak suka pakai bahan kimia - saya buat baja sendiri, pakai semua organik baja, kompos dia pun saya buat sendiri. Itu masa kat Kelana Jaya.

“Tapi kondo susahlahkan. Jadi semua sekarang ni saya pakai baja buat sendiri dan baja organik,” katanya.

Menurutnya, disebabkan harga barangan makanan yang semakin mahal hari ini, dia melihat aktiviti berkebun masih relevan, terutamanya bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.

“Saya banyak petik (tanaman untuk masak), kalau saya nak daun bawang, pudina, kucai, semua ada. Saya tanam keledek, ubi kentang, terung,” katanya.

“Bagi saya, ia lebih kepada kesihatan, dan penjimatan tu okeylah…sebab saya untuk dua orang makan saja. Jadi tak ada banyak penjimatan. Ia lebih kepada kebersihan dan kesihatan sebab kita tak pakai baja yang ada bahan kimia,” katanya.

Pada 15 Jun, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga akan terus bersidang secara mingguan untuk memperhalusi langkah dan intervensi, yang turut melibatkan isu pemantauan status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan susulan semua inisiatif serta langkah intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS