Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Turun harga barang atau rakyat turun jalan raya - Kesatuan pelajar
Diterbitkan:  Jun 25, 2022 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Dua kumpulan pelajar hari ini menggesa kerajaan menurunkan harga barang, dan mengingatkan bahawa kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan protes jalanan.

Dalam satu kenyataan hari ini bertajuk “Turun Harga atau Turun Jalan Raya”, mereka mengecam tindakan kerajaan menghapuskan subsidi dan harga siling barangan keperluan harian.

Kesatuan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) turut mengkritik pemberian wang tunai RM100 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Kami berpendapat keputusan ini dibuat tanpa mengambil kira situasi rakyat. Pemansuhan subsidi ini akan menyebabkan harga kebanyakan barangan keperluan harian meningkat secara mendadak dalam masa yang singkat.

“Kenaikan harga barangan ini akan memberi kesan negatif kepada semua lapisan masyarakat termasuk mahasiswa dan mahasiswi,” kata mereka.

Pada Selasa (21 Jun), Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan harga siling untuk ayam dan telur ayam, serta subsidi minyak masak sawit botol, tidak akan diteruskan mulai 1 Julai.

Menteri itu berkata ini bagi memastikan bekalan makanan akan lebih stabil dan harga makanan akan stabil dalam jangka masa panjang.

Keesokan harinya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa keluarga yang menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan mendapat tambahan RM100 berikutan peningkatan kos sara hidup.

Ismail juga menjangkakan harga ayam dan telur akan naik bulan depan selepas harga siling dimansuhkan.

Bagaimanapun, kerajaan kemudiannya membatalkan keputusan itu dan mengumumkan harga siling baru akan ditetapkan tidak lama lagi.

Harga siling semasa, yang dijangka tamat pada 30 Jun, ialah RM8.90 sekilogram untuk ayam keseluruhan standard dan RM9.90 sekilogram untuk ayam keseluruhan super.

‘Tidak boleh bertahan dengan RM100’

Mengenai bantuan tambahan untuk penerima BKM, kesatuan pelajar UIAM dan UM berpendapat pemberian wang tunai tidak dapat membantu menyelesaikan kesusahan rakyat.

“Beban kenaikan harga barang dan kekurangan bantuan kerajaan akan membebankan segenap lapisan masyarakat. Penerima BKM tidak boleh bertahan dengan RM100 untuk tempoh yang lama jika harga barangan keperluan meningkat.

“Lebih teruk, kerajaan tidak mempunyai pelan bantuan untuk membantu pelajar yang turut terjejas akibat kenaikan harga.

"Krisis itu telah membawa kepada kadar inflasi yang tinggi yang secara tidak langsung menyebabkan penurunan kuasa beli," kata mereka.

Gesaan kesatuan pelajar untuk protes itu dibuat sehari selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur gesaan yang sama untuk demonstrasi oleh ahli jawatankuasa pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali.

Sultan Ibrahim, yang memetik rusuhan 13 Mei serta protes Bersih, berkata terdapat lebih banyak "jalan yang membina" daripada turun ke jalan dalam menangani kenaikan harga.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS