Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin dipelawa tanding guna tiket PAS pada PRU15
Diterbitkan:  Jun 25, 2022 5:32 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

PAS Perak mempelawa Tajuddin Abdul Rahman untuk mempertahankan kerusinya di Pasir Salak pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), berikutan penyingkirannya daripada Majlis Tertinggi Umno.

Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria membayangkan bahawa Tajuddin mungkin digugurkan sebagai calon pilihan raya BN.

Tambahnya, ia juga bergantung kepada sama ada PAS akan diperuntukkan kerusi Pasar Salak dalam gabungan PN.

"Jika sekiranya berlaku PRU15 dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam BN, maka PAS Perak sedia menawarkan beliau bertanding atas tiket PN mewakili PAS.

“(Itu) sekiranya kerusi Pasir Salak itu menjadi milik PAS dalam pembahagian kerusi bersama PN,” kata Adun Gunung Semanggol itu seperti dilapor Harakahdaily.

Tajuddin dilucutkan jawatan sebagai ahli majlis tertinggi Umno pada Selasa.

Dia dimaklumkan mengenai keputusan itu dalam surat bertarikh 21 Jun, yang ditulis oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak mendedahkan sebab penyingkiran Tajuddin, dengan mendakwa bahawa Tajuddin tahu apa yang dia lakukan.

Ini adalah kali kedua Tajuddin disingkirkan daripada majlis tertinggi.

Pada 1995, Tajuddin adalah ahli majlis tertinggi tetapi keahlian partinya telah ditarik balik berikutan dakwaan dia telah membayar RM6 juta untuk mendapatkan jawatan sebagai ketua bahagian Umno.

Keahliannya telah dikembalikan tiga tahun kemudian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS