Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Batu Puteh: Dr M tak wajar salahkan pihak lain atas keputusan sendiri - Adun Johor
Diterbitkan:  Jun 25, 2022 3:52 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak wajar mengambil sikap menuding jari dan menyalahkan pihak lain dalam isu Pulau Batu Puteh, kata Adun Tanjung Surat, Aznan Tamin.

"Pertamanya saya selaku salah seorang Adun Johor merafak sembah menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Johor yang kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018.

"Perdana menteri pada ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat satu keputusan yang membelakangi Tuanku Sultan Johor selaku ketua negeri Johor untuk tidak meneruskan semakan terhadap keputusan ICJ tentang pemilikan Batu Puteh.

"Lebih mengecewakan, Tun Dr Mahathir Mohamad telah merujuk Pulau Batu Puteh sebagai ‘pulau yang bersaiz sebesar meja’," katanya yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengerang dalam satu kenyataan.

Aznan berkata, sebagai bangsa Johor, walau seinci tanah Johor ia melambangkan kedaulatan negeri dan seluruh jajahan takluk Tuanku Sultan Johor.

"Lebih-lebih lagi, Pulau Batu Puteh ini letaknya berhampiran dengan kawasan saya iaitu DUN Tanjung Surat.

"Akhir sekali, saya berharap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘negarawan’ dapat ambil tanggungjawab dan bukannya meneruskan sikap menuding jari menyalahkan pihak lain atas keputusan sendiri," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Dr Mahathir ketika berucap dalam sebuah kongres pada Ahad lalu berkata, bukan hanya Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh harus dikembalikan, sebaliknya mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura.

Bagaimanapun Mahathir kemudiannya mendakwa kenyataannya dilaporkan di luar konteks.

Sebaliknya, bekas perdana menteri itu menjelaskan, kenyataannya hanya merujuk kepada Pulau Batu Puteh yang pemilikannya menjadi kebimbangan rakyat Malaysia berbanding wilayah lain yang sebelum ini diambil dari Malaysia.

Menurutnya, kehilangan pulau kecil itu bukanlah satu perkara besar dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor yang menafikan pemilikan pulau itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS