Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal hapus harga siling ayam: Bagaimana k'jaan rangka dasar, soal MP
Diterbitkan:  Jun 25, 2022 1:21 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Langkah kerajaan untuk membatalkan keputusan menghapuskan harga siling ayam hanya tiga hari selepas mengumumkannya mengundang persoalan daripada Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkenaan bagaimana kerajaan merangka dasar.

Sim berkata pusingan U yang dibuat itu menunjukkan kerajaan lemah dan tidak konsisten.

"Dasar kerajaan tidak dirangka dengan objektif yang jelas, proses yang professional dan melibatkan semua pihak pemegang taruh.

"Perdana menteri mempunyai menteri dan timbalan menteri seramai 69 orang. Kenapa tidak seorang pun berupaya memahami secara mendalam punca kenaikan harga ayam?" soalnya dalam kenyataan.

Ahli parlimen PKR itu juga mempersoalkan peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) dalam menangani perkara itu.

"Naccol dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri dan dianggotai oleh menteri hebat-hebat daripada BN, PN dan GPS dan GRS. Takkan tak berupaya mencari penyelesaian yang tuntas?

"Pusingan U ini telah menyebabkan keyakinan rakyat, industri ternakan dan pasaran terjejas. Pasaran tidak menentu kerana dasar kerajaan sering berubah-ubah.

"Hari ini sektor ayam, esok sektor mana pula?" soalnya lagi.

Pada 21 Jun lalu, kerajaan mengumumkan subsidi untuk minyak masak botol dan harga siling untuk ayam dan telur akan dihapuskan. Subsidi untuk minyak masak dalam plastik pula akan diteruskan.

Namun tiga hari kemudian, kerajaan mengumumkan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran dan harga siling baru akan ditetapkan.

Pada masa sama, harga ayam kekal dijangka akan diapungkan dan subsidi untuk minyak masak botol dihapuskan.

Di tengah peningkatan harga bekalan makanan, harga siling yang ditetapkan telah membawa kepada pengurangan bekalan.

Peningkatan itu dicetuskan oleh peningkatan inflasi global dengan rantaian makanan berusaha untuk memenuhi permintaan yang meningkat selepas wabak Covid-19. Perang antara Ukraine dan Rusia pula menyebabkan kekurangan bijirin yang digunakan untuk makanan ayam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS