Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis panggil 3 individu terlibat perhimpunan Majlis Peguam
Diterbitkan:  Jun 25, 2022 8:54 AM
Dikemaskini: 12:54 AM

Polis telah memanggil tiga individu untuk disoal siasat berhubung perhimpunan ‘Walk for Justice’ anjuran Majlis Peguam minggu lalu, kata presidennya Karen Cheah Yee Lynn.

Selain Yee sendiri, turut disiasat ialah Ketua Pegawai Eksekutif sekretariat Majlis Peguam, Rajen Devaraj dan ahli Majlis Peguam, Roger Chan.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga mereka membuat keputusan untuk tidak memberi keterangan kepada polis apabila mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 2.30 petang semalam.

Cheah mendakwa polis hanya mengeluarkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) selepas peguam bertegas, dan notis itu sendiri tidak menyebut undang-undang mana yang disiasat oleh polis.

Seksyen 111 CPC merujuk kepada kuasa polis untuk menghendaki orang ramai hadir soal siasat dengan mengeluarkan notis bertulis kepada mereka.

“Setelah bertemu polis hari ini (semalam), kami dimaklumkan secara lisan bahawa siasatan kononnya dijalankan mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan Peraturan 6 dan Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa peralihan ke Endemik 2022).

“Semasa pertemuan kami dengan polis di mana kami diwakili peguam, kami meminta polis mendapatkan salinan Laporan Maklumat Pertama (FIR). Polis meminta kami membuat permintaan bertulis dan memberitahu kami bahawa keputusan untuk memberikan kami FIR adalah semata-mata atas budi bicara mereka.

“Memandangkan kami hanya dimaklumkan hari ini mengenai seksyen yang dikatakan dan peraturan di mana siasatan sedang dijalankan, dan kerana kami tidak melihat FIR itu, kami memutuskan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada polis dan memaklumkan mereka bahawa kami akan menulis surat meminta FIR, sebelum meninggalkan IPD Dang Wangi.

“Majlis Peguam Malaysia ingin mengulangi pentingnya warganegara menyedari hak undang-undang mereka dan setiap orang berhak mendapat peguam menemani mereka di balai polis.

“Sementara itu, Badan Peguam Malaysia dengan beraninya akan meneruskan perkara ini, setakat dibenarkan oleh undang-undang negara untuk kita berbuat demikian,” kata Cheah dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada 17 Jun lalu, ratusan peguam berkumpul di Padang Merbok dengan hasrta untuk berarak ke Parlimen dan menyerahkan memorandum menuntut kebebasan kehakiman kepada kerajaan.

Bagaimanapun, perhimpunan ‘Walk for Justice’ itu digagalkan selepas polis mengadakan sekatan dan enggan membenarkan peserta perhimpunan melepasinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS