mk-logo
Berita
Tugas tentera jaga keselamatan, bukan bawa cangkul - Suara Veteran
Diterbitkan:  Jun 22, 2022 3:47 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Anggota tentera di negara ini seharusnya diberikan sepenuh ruang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pasukan keselamatan, bukannya hal-hal yang boleh menjejaskan tugas hakiki mereka.

Ahli Jawatankuasa Suara Veteran, Mejar (B) Mior Rosli Mior Rosdi berkata dalam keadaan negara aman anggota keselamatan perlu memberikan fokus kepada aspek latihan pertempuran.

Menyarankan anggota tentera bertani, katanya, boleh dianggap sebagai cadangan tidak bijak.

“Rancangan Kementerian Pertahanan mengenai bertani ini tidak bijak. Mereka seolah-olah tidak tahu fokus yang sebenar," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengumumkan akan mewujudkan kawasan tanaman di setiap kem angkatan tentera bagi menjamin sekuriti makanan terutamanya untuk keperluan anggota keselamatan terbabit.

Kata menteri kanan itu projek rintis tanaman berkenaan sudah pun bermula di Kem Syed Sirajuddin di Gemas Negeri Sembilan dan dianggap berjaya oleh Hishammuddin.

Cadangan untuk kementerian

Menurutnya lagi dia akan menunggu laporan mengenai keberkesanan projek tersebut bagi membolehkan penilaian dibuat sama ada wajar diperluaskan ke kem lain atau sebaliknya.

Mior Rosli berkata jika ada kawasan tanah Kementerian Pertahanan yang sesuai untuk dimajukan dengan aktiviti pertanian ia boleh diserahkan kepada pihak veteran.

Dengan langkah itu katanya kawasan tersebut boleh dimanfaatkan untuk projek pertanian moden.

“Tapi janganlah disuruh anggota tentera bawa cangkul untuk menjadi petani pula,” katanya.

Mior Rosli juga menegaskan seseorang anggota tentera tidak patut diganggu dengan perkara di luar bidang mereka.

Dalam kenyataan sama Mior Rosli turut mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pertahanan untuk membantu mereka menyediakan pasukan keselamatan negara yang lebih terlatih.

“Kalau kementerian ketandusan idea dan rasa anggota tentera dah tak ada kerja sangat, saya boleh bagi cadangan apa yang kita boleh buat.

"Misalnya serapkan secara sementara anggota perubatan tentera ke wad kecemasan hospital awam supaya mereka dapat didedahkan dengan keadaan kecemasan sebenar," katanya.

Selain itu, menurut Mior Rosli, Kementerian Pertahanan boleh mengurangkan penganugerahan tender kepada kontraktor awam untuk melaksanakan sesuatu projek, sebaliknya menggunakan jurutera tentera untuk menyelia projek di kawasan luar bandar seperti pembinaan jambatan, penurapan jalan dan yang seumpamanya.

Kemudahan perubatan seperti ambulans udara dan pasukan penyelamat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, tambahnya, boleh dikerah untuk turut serta membantu jika ada kemalangan di lebuh raya.

Tidak ketinggalan, Mior Rosli mencadangkan agar latihan ketenteraan dibuat secara besar-besaran di kawasan sempadan negara yang sekali gus boleh mengekang pencerobohan pihak luar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS