Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu 'tidak jujur', macam mana nak masuk MN - Shahril
Diterbitkan:  Jun 22, 2022 1:57 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Bersatu tidak diterima menyertai Muafakat Nasional kerana percubaan berulang kalinya untuk menjejaskan Umno, kata ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shahril berkata Umno mempunyai pengalaman pahit bekerjasama dengan Bersatu kerana parti itu "tidak jujur dalam bekerjasama".

“Ini terbukti semasa pilihan raya negeri Sabah apabila Bersatu meletakkan calon di 17 DUN untuk melawan calon BN.

“Tambahan lagi, mereka pecahkan undi dengan meletakkan calon bebas yang menyokong kerajaan (Ketua Bersatu Sabah) Hajiji Noor) selepas tamatnya PRN Sabah,” katanya.

Shahril menuduh Bersatu sengaja cuba menganggu-gugat Umno walaupun parti itu menyerahkan banyak "kerusi tradisional" kepada Bersatu.

Shahril berkata Bersatu juga menunjukkan sikap tidak jujur dengan membentuk Perikatan Nasional (PN) tanpa sebarang perbincangan dengan Umno.

“Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan Umno. Ini jelas apabila hampir separuh dari ahli parlimen Bersatu serta hampir keseleruhan pimpinan mereka di Sabah pasca PRU14 adalah bekas wakil rakyat Umno yang dianggap sebagai pengkhianat parti oleh akar umbi Umno.

“Bersatu mendaftarkan PN tanpa sebarang perbincangan bersama Umno. Sekali lagi, Bersatu yang ditubuhkan untuk mengganti Umno menubuhkan PN pula dengan tujuan yang sama, untuk mengganti BN,” katanya.

Menurut Shahril, parti serpihan Umno itu tahu jika ia menyertai MN, parti itu tidak boleh mendominasi keputusan tanpa persetujuan anggota yang lain.

“Sebab itu mereka tubuhkan PN dan memikat PAS sekali. Malah pada suatu ketika parti komponen BN juga dipelawa tanpa sebarang perbincangan bersama Umno.

“Bila dah bertindak begini, macam mana nak terima masuk MN?” soalnya.

Shahril mengulas kenyataan ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa semasa ceramah di Bangi, Selangor pada 20 Jun lalu bahawa pihaknya bersedia untuk menyertai MN bagi memastikan perpaduan umat Islam.

Bagaimanapun, dakwanya meskipun Bersatu menerima jemputan daripada MN pada 2020, namun tiada sebarang perkembangan sejak itu.

Muafakat Nasional adalah piagam antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada September 2019 sebagai asas kepada perpaduan umat Islam menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, hubungan antara Umno dan PAS menjadi renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. PAS membentuk PN bersama Bersatu pada 2020 sambil pada masa yang sama cuba mengekalkan hubungan dengan Umno melalui MN.

BN dan PN bersemuka semasa pilihan raya negeri Melaka pada 2021 dan menentang satu sama lain pada pilihan raya negeri Johor pada Februari tahun ini. Kedua-dua pilihan raya itu menyaksikan BN menang besar-besaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS