Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga China dedah ‘sengsara gatal kulit’ di pusat tahanan Malaysia

Selepas meninggalkan Sulawesi, Indonesia, Wei (nama penuh dirahsiakan bagi melindungi identitinya) dan rakan-rakannya merancang untuk menyeludup ke Malaysia melalui pantai timur Johor selepas malam hari, tahun lalu.

Namun, selepas bot yang dinaiki menurunkan kelima-lima mereka ketika air pada paras pinggang dan ketika sedang berenang ke arah pantai, mereka terdengar dua tembakan amaran, yang memecahkan keheningan malam.

Akibat ketakutan, warga China itu berhenti dan menunggu ketibaan pihak berkuasa. Harapan mereka untuk pulang ke tanah air musnah.

“Kami terlalu takut untuk lari,” kata Wei, yang telah pulang ke China, ketika ditemubual Malaysiakini.

Rekod rasmi mendedahkan kelima-lima mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika di Johor Bahru selepas disahkan negatif Covid-19.

Wei dan rakan-rakannya adalah buruh kasar dari Henan, China, yang merantau ke Sulawesi selepas dijanjikan gaji dan faedah yang besar dalam syarikat usahasama perlombongan nikel milik China.

Bagaimanapun, apa yang menanti mereka adalah waktu kerja yang terlalu panjang, gaji kecil serta persekitaran kerja yang cukup bahaya. Selepas beberapa bulan, mereka berlima memutuskan untuk pulang ke tanah air.

Namun, mereka berdepan dengan masalah kerana majikan memegang pasport mereka. Oleh itu, atas sebab terdesak, mereka berlima menghubungi seorang penyeludup tempatan yang fasih berbahasa Cina, yang digelar “Snakehead.”

“Snakehead” meyakinkan mereka bahawa risiko untuk melarikan diri adalah minimum dan mereka berlima boleh mendapatkan dokumen perjalanan yang sah di Malaysia selagi mereka sanggup membayar wang tunai.

Wei berkata selepas melarikan diri dari kilang, mereka menaiki penerbangan dari Kendari di tenggara Sulawesi ke Jakarta dan kemudian menuju ke Pulau Batam, kira-kira 15 batu nautika (27km) dari Singapura. Selepas beberapa hari, mereka berpindah ke pulau lain yang berdekatan.

“Prosesnya (di Indonesia) jika ada wang, semua boleh buat. Ketika penrbangan, kami tidak perlu beratur atau melalui pemeriksaan keselamatan dan ujian Covid-19,” dakwanya.

Disebabkan ini, mereka berlima yakin bahawa keadaan akan berjalan lancar sehingga mereka tiba di China.

“Tetapi apabila pihak berkuasa Malaysia tangkap kami, saya fikir saya akan mati. Insiden ni buat saya menggigil setiap kali mengingati semula,” kata Wei sambil mengimbas semula perjalanan sejauh 3,000km itu.

Selepas lebih 20 hari ditahan di Pejabat Imigresen Setia Tropika, kelima-lima mereka dipindahkan ke Depoh Imigresen Pekan Nanas.

Dan di situlah bermula episod kesengsaraan akibat penyakit kulit yang dihadapi oleh kelima-lima mereka.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS