Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Budak positif dadah: Polis tahan lelaki, rampas Proton Saga
Diterbitkan:  Jun 22, 2022 7:15 AM
Dikemaskini: Jun 22, 2022 12:21 AM

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan yang kini dalam keadaan kritikal kerana terdapat kandungan dadah di dalam badannya mungkin ‘terambil’ bahan larangan milik bapa sepupunya yang disimpan dalam sebuah kereta.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata susulan itu kereta milik lelaki berusia 30 tahun dirampas untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut terhadap kereta Proton Saga milik suspek akan dilakukan oleh pihak forensik,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak tersebut yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu semalam.

Terdahulu media melaporkan kanak-kanak yang berasal dari Kampung Sri Bintang, Kuala Krai itu berada dalam keadaan kritikal selepas pemeriksaan doktor mendapati terdapat kandungan dadah di dalam badannya.

Menyifatkan kejadian yang menimpa kanak-kanak itu sebagai sesuatu yang malang, Muhamad Zaki berkata, siasatan polis mendapati keluarga kanak-kanak terbabit memang menghadapi banyak kesukaran.

Ibu kanak-kanak terbabit pula, katanya, menghidapi penyakit kanser tahap empat.

Susulan kejadian itu, menurut Muhamad Zaki polis menjalankan Op Khas di kawasan Kampung Sri Bintang tengah malam tadi dan menahan sembilan individu, di samping merampas 102 biji pil kuda.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS