Dia bukan hakim - itu kata-kata diungkapkan Muhyiddin Yassin sebagai reaksinya terhadap persoalan dilontarkan Najib Razak mengenai isu dakwaan sogokan diberi syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu juga berkata adalah lebih baik untuk Najib "menguruskan" masalah yang sedang dihadapinya,.
"Dia bukan hakim. Elok dia manage (uruskan) dia punya problem-lah," kata ahli parlimen Pagoh itu ketika ditanya media mengenai percanggahan tarikh dia menerima rawatan kerana kanser di luar negara dengan waktu didakwa menerima wang daripada UKSB.
Tambah Muhyiddin kenyataan yang diberikannya sebelum ini memadai untuk menjawab - dan menafikan - dakwaan pegawai atasan UKSB semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Muhyiddin dia tidak bercadang untuk memberi sebarang kenyataan tambahan.
"Saya punya kenyataan begitu dan saya sebutkan juga contoh satu dua tarikh yang disebutkan oleh pihak (berkenaan), konon diberi sogokan.
"Saya kata pada waktu itu saya tak ada di sini. Jadi saya minta tak perlu dibahas lagi," katanya.
Tambah pengerusi Perikatan Nasional itu lagi dia juga terbuka untuk dipanggil memberi keterangan oleh pihak berkuasa sama ada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya tak takut kerana saya bercakap yang benar," katanya di suatu majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Untuk rekod seperti Ahmad Zahid, Najib juga sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Najib sebelum ini sudah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.
Tak kisah report banyak
Apabila Najib membawa kes berkenaan ke peringkat lebih tinggi, Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan sabitan tersebut. Ia kini berada di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, Muhyiddin menerima RM1.3 juta melalui tiga transaksi masing-masing pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Dalam keterangannya, Tan mengenal pasti Muhyiddin sebagai ‘TSM’ yang dicatatkan dalam lejar UKSB.
Ahli Parlimen Pagoh itu dalam penafian awalnya tidak menyebut tarikh tertentu, sebaliknya berkata dia menjalani pembedahan pada Julai 2018, justeru "mustahil" untuk menerima rasuah daripada sesiapa.
Melalui Facebook, Najib - yang pernah memilih Muhyiddin sebagai timbalannya sewaktu dia menjadi perdana menteri - kemudian mempersoalkan penafian tersebut.
Najib juga menunjukkan bahawa Muhyiddin belum menjalani pembedahan pada 4 Julai 2018, dan kembali bertugas pada 14 Ogos.
Kata Muhyiddin setakat ini tiada mana-mana pihak berkuasa menghubunginya untuk diambil keterangan.
Menegaskan sekali lagi bahawa dia "bercakap benar" Muhyiddin berkata terserah kepada orang lain untuk berkata apa mengenai dakwaan berkenaan.
"Kalau nak sahkan benar atau tak benar, saya dah bagitahu saya bersedia disiasat. Sekarang boleh, besok boleh.
"Nak buat report polis banyak-banyak pun buatlah. Biar polis siasat," katanya.