Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dia tidak menerima sebarang bayaran daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

“Saya nak nyatakan bahawa saya tak pernah terima apa-apa secara peribadi seperti mana yang telahpun dilaporkan.

“Saya tak terima apa-apa wang dalam kes (perbicaraan) tersebut .... Jika dipanggil oleh mana-mana pihak (berkuasa) untuk memberi keterangan, saya bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya,” kata Khairy.

Khairy bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di Petaling Jaya, hari ini.

Dia adalah antara beberapa ahli politik yang nama mereka muncul dalam lejar UKSB, yang seterusnya menjadi subjek keterangan saksi pada perbicaraan rasuah membabitkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, lejar itu merekodkan pembayaran antara 2014 hingga 2018 kepada beberapa ahli politik yang identiti mereka dirahsiakan melalui nama kod.

Ketika itu, Khairy adalah menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio belia dan sukan. Dia juga adalah ketua Pemuda Umno.

Saksi kes itu memberi keterangan bahawa entiti yang dipanggil "KJ", "Alamak" dan "Bukit Damansara" merujuk kepada Khairy.

Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani memberi keterangan bahawa beberapa bayaran berjumlah antara RM50,000 hingga RM200,000 telah dibayar kepada Khairy secara tidak langsung melalui Umno bahagian Rembau.

Tan memberi keterangan bahawa Khairy dibayar RM3.7 juta secara keseluruhan, menurut lejar itu.

Zahid didakwa atas 40 pertuduhan menerima rasuah dalam pelbagai mata wang berjumlah lebih RM48 juta pada kadar pertukaran semasa.

Dia didakwa menerima dorongan itu atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri antara 2014 dan 2018 untuk melanjutkan kontrak UKSB untuk mengendalikan sistem visa asing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS