Nota editor: Panduankini ini telah dikemas kini pada 26 Julai dengan nama-nama baru yang didedahkan di mahkamah.
PANDUANKINI l Amalan rasuah yang melibatkan ahli politik negara kita terus menerus didedahkan menerusi pelbagai dakwaan di mahkamah.
Sejak akhir-akhir ini, beberapa nama ‘besar’ dikaitkan apabila seorang saksi memberi keterangan semasa perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, berhubung sistem visa luar negara (VLN) di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, Selangor.
Lejar rahsia Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), yang mengandungi nama kod dan butiran dakwaan pembayaran yang dibuat syarikat itu kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018, telah dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti.
Antara nama lain yang didedahkan termasu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Keterangan itu menyaksikan pemimpin Pakatan Harapan, Umno dan Bersatu membuat pelbagai kenyataan, dan SPRM membuka kertas siasatan.
Dalam siri Panduankini, kali ini kami akan menjelaskan skandal berkenaan lejar UKSB ini.
Apa yang didedahkan semasa perbicaraan Zahid?
Lejar UKSB mendedahkan beberapa ahli politik yang didakwa menerima bayaran daripada syarikat tersebut. Saksi-saksi yang memberi keterangan termasuklah pengarah UKSB Fadzil Ahmad (saksi ke-14), bekas pengarah Harry Lee (saksi ke-15) dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (saksi ke-16) serta bekas pengurus pentadbirannya David Tan Siong Sun (saksi ke-17).
Bagaimanakah UKSB terlibat?
Syarikat UKSB adalah sebuah syarikat yang menjadi tajuk perbicaraan kes rasuah Zahid, yang melibatkan sistem visa negara.
Ia ditubuhkan pada 2009, berfungsi mengendalikan visa Malaysia untuk warga asing dan VLN (Visa Luar Negara atau Perkhidmatan Visa Asing) yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini dan digunapakai di China, India, Nepal dan Myanmar.
Mahkamah diberitahu bahawa Wan Quoris adalah pemegang saham terbesar, dengan 40 peratus kepentingan dalam syarikat itu, diikuti oleh HRL Capital Sdn Bhd dan Seri Optima Sdn Bhd, masing-masing memegang 20 peratus kepentingan.
Dalam keterangannya, Tan berkata syarikat itu mendapat dana dari Hong Kong untuk membayar Zahid dan dia terpaksa meminta rakan niaga syarikat berkenaan di sana untuk mendapatkan dana tersebut kerana UKSB tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung pembayaran.
Bekas pengurus pentadbiran itu memberi keterangan bahawa wang yang digunakan UKSB untuk bayaran bulanan dan bayaran sekali dibuat tidak diambil daripada akaun UKSB.
“Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya dalam bentuk tunai.
"Selepas menerima tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul,” kata Tan kepada mahkamah.
Dia juga berkata dia pernah menghantar beg berisi RM3 juta kepada Zahid di kediaman rasminya, di Seri Satria di Putrajaya.
Apa mengenai lejar rahsia UKSB?
Lejar UKSB direkodkan oleh Tan, yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Zahid mulai Oktober 2014 hingga Ogos 2018.
“Saya membuat lejar dengan menggunakan Microsoft Excel pada komputer riba peribadi saya. Saya bukan seorang akauntan, jadi lejar itu hanyalah rekod wang yang masuk, ataupun wang yang keluar,” katanya.
Tan berkata, bahawa catatan utama dalam lejar itu adalah jumlah yang tersedia untuk setiap bulan, jumlah yang dikeluarkan dan nama atau kod nama panggilan penerima yang dimaksudkan.
“Individu yang dinamakan dalam lejar itu termasuk menteri, ahli politik dan penjawat awam.
“Selalunya, saya akan masukkan catatan setiap hari tetapi pada hari-hari yang sibuk, saya akan catat pada sehelai kertas terlebih dahulu sebelum memasukkan butiran dalam lejar pada keesokan harinya atau pada hari berikutnya,” katanya.
Tan juga berkata dia menggunakan kod nama kerana bimbang lejar itu mungkin bocor atau jatuh ke tangan orang lain.
Siapa mereka dan apa yang mereka dapat
Ahli politik yang disebut dalam lejar UKSB adalah mereka yang masih bersama Umno atau sudah meninggalkan atau keluar dari parti itu.
Selain Zahid, nama lain yang didedahkan adalah Muhyiddin, yang juga bekas perdana menteri, Khairy, Menteri Pertahanan Kanan Hishammuddin Hussein, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Presiden Warisan Shafie Apdal dan bekas menteri luar Anifah Aman.
Sejak itu, beberapa nama lagi disebut turut menerima wang daripada UKSB, iaitu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan dan dua bekas menteri MCA, Chan Kong Choy dan Ong Ka Chuan.
Ahmad Zahid Hamidi
Walaupun nama penuh Zahid tidak dicatatkan dalam lejar UKSB, kod nama seperti "monster, “young boy”, "yb", "z", "zh" dan "mon" dalam fail merujuk kepada presiden Umno berkenaan, yang ketika itu adalah menteri dalam negeri.
Menurut saksi Wan Quoris, syarikat itu membayar Zahid bermula 2014 hingga 2018 untuk mendapatkan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri.
Lee, bekas pengarah UKSB memberi keterangan bahawa syarikat tersebut membayar S$200,000 sebulan pada 2014 dan bayaran itu meningkat kepada S$520,000 sebulan pada 2017.
Muhyiddin Yassin
Kod nama “TSM” yang direkodkan dalam lejar UKSB merujuk kepada Muhyiddin, yang dilantik sebagai menteri dalam negeri semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
Tan memberi keterangan bahawa syarikat itu telah memberikan RM1.3 juta kepada Muhyiddin sebagai bayaran tunai pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.
Dalam maklum balas segera, Muhyiddin mempertikaikan keterangan itu, dan berkata pada Julai 2018, dia telah menjalani pembedahan kanser serta bercuti selama beberapa bulan.
Khairy Jamaluddin
Mahkamah dimaklumkan bahawa kod nama “KJ”, “Alamak” dan “Bukit Damansara” yang direkodkan dalam lejar UKSB merujuk kepada menteri kesihatan itu.
Wan Quoris dalam keterangannya berkata, bahawa syarikat itu menyumbang sebanyak RM50,000 hingga RM200,000 kepada Khairy semasa dia menjadi menteri belia dan sukan.
Katanya, sumbangan berkenaan disalurkan kepada Umno bahagian Rembau dan tidak diberikan terus kepada Khairy yang juga dikenali sebagai KJ, yang ketika itu adalah timbalan ketua bahagian Rembau.
Sementara itu, Tan turut mengesahkan Khairy dibayar RM3.7 juta seperti yang dicatatkan dalam lejar.
Wan Quoris seterusnya memberi keterangan bahawa Khairy tidak terlibat dalam kes VLN.
Reezal Merican Naina Merican
Walaupun tidak diketahui apakah kod nama Reezal dalam lejar tersebut, laporan forensik daripada SPRM menunjukkan dia telah menerima antara RM200,000 dan RM300,000.
Hishammuddin Hussein
Keterangan mahkamah tidak mendedahkan sebarang kod nama bagi menteri ini.
Bagaimanapun, menurut bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Imigresen, Djuliana Jamaludin, Hishammuddin telah memberikan kelulusan permohonan UKSB sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China untuk tempoh konsesi selama tujuh tahun.
Shafie Apdal
Kod nama “MOR” dalam lejar UKSB merujuk kepada Shafie, yang ketika itu merupakan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.
Bagaimanapun, tiada butiran mengenai faedah yang diberikan kepada presiden Warisan itu.
Anifah Aman
Kod nama "FM" dalam lejar merujuk kepada Anifah, yang adalah menteri luar ketika itu. Namanya disebut di mahkamah tanpa sebarang butiran diberikan oleh saksi.
Anifah, adalah Presiden Parti Cinta Malaysia, telah menafikan bahawa dirinya menerima sebarang rasuah dan berkata dia bersedia untuk membantu siasatan.
Dr Mahathir Mohamad
Mahathir didakwa menerima sumbangan politik berjumlah RM2.6 juta daripada UKSB tidak lama selepas PH menang dalam PRU14. Ketika itu dia merupakan pengerusi Bersatu.
Wang itu didakwa diberikan menerusi anak saudara Mahathir, Rahmat Abu Bakar dengan kod nama "Kedahan", namun Tan dalam keterangannya berkata dia tidak melihat sendiri wang itu diberi kepada Rahmat.
Mahathir kemudian menafikan dakwaan itu, berkata dia tidak menerima sebarang wang dan pihak yang membuat dakwaan perlu mengemukakan bukti.
Shahril Hamdan
Menurut Tan, kod nama "S Pat" dalam lejar UKSB adalah merujuk kepada Shahril, yang didakwa menerima RM1.16 juta.
Tan berkata wang tersebut diberi secara bulanan kepada Shahril dan ia diberikan ekoran hubungan rapatnya dengan Khairy.
Shahril menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar dan menyatakan kesediaannya untuk memberi kerjasama dalam siasatan pihak berkuasa.
Chan Kong Choy
Bekas menteri pengangkutan Chan diberi kod nama "Prof" dalam lejar syarikat.
Dalam keterangannya, Tan berkata Chan yang merupakan bekas timbalan presiden MCA menerima RM7.8 juta daripada UKSB, namun tidak menyatakan tarikh wang itu diberikan.
Chan dilaporkan berkata dia tidak menerima wang itu, sama ada secara peribadi atau sebagai dana politik.
Ong Ka Chuan
Diberi kod nama "OKC" dalam lejar, Ong didakwa menerima RM920,000 daripada UKSB. Bagaimanapun mahkamah tidak dimaklumkan tentang tarikh bayaran dibuat.
Dia menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan menggesa pihak yang membuat dakwaan agar mengemukakan bukti pembayaran.
Dia juga berkata akan memberi kerjasama jika siasatan dibuat berhubung perkara itu.
Ong merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 2008-2009 dan menteri perdagangan antarabangsa dan industri pada 2015-2018.
Kod nama lain yang didedahkan di mahkamah termasuk "bomoh", "KPU", "SUB" dan "AK". Adalah dilaporkan bahawa "KPU" merujuk kepada ketua pengarah manakala "SUB" adalah setiausaha bahagian, manakala "AK" adalah huruf awal untuk Akbar Khan.
Apa pertuduhan terhadap Zahid?
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh kementerian dalam negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 daripada syarikat yang sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.