Menteri Pendidikan, Radzi Jidin, hari ini mengumumkan bahawa pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah di bawah kementeriannya (KPM) akan terus menikmati pengecualian sewa sehingga 31 Disember ini.
Katanya, perlanjutan bermula 1 Julai ini, dibuat selepas mengambil kira situasi semasa.
"Tempoh dua tahun lalu adalah satu tempoh yang amat sukar bagi pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah KPM.
"KPM membuat keputusan bahawa pengecualian sewa bagi premis KPM dilanjutkan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2022," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Radzi berkata KPM memahami pengusaha kantin dan penyewa premis sedang dalam proses pemulihan susulan pandemik Covid-19 dan yakin perlanjutan selama enam bulan lagi itu akan dapat membantu dan dimanfaatkan mereka, termasuk oleh warga sekolah.
Dia turut berharap keputusan melanjutkan pengecualian itu dapat memberi kelegaan buat pengusaha kantin dan penyewa premis di sekolah bawah KPM.
Sebelum ini dilaporkan KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang perniagaan di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan bermula Julai 2021 sebelum melanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi sehingga bulan ini.