Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Di mana laporan tahunan, pesuruhjaya baru Suhakam?'
Diterbitkan:  Jun 20, 2022 6:23 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Sekumpulan 11 pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa menuntut kerajaan menjelaskan mengaoa laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 masih belum dibentangkan di Parlimen.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka turut mempersoalkan bagaimana Suhakam boleh beroperasi tanpa pesuruhjaya selama lebih sebulan berikutan berakhirnya tempoh perkhidmatan mereka baru-baru ini.

Seksyen 21(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 menyatakan laporan tahunan Suhakam hendaklah dikemukakan kepada Parlimen tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen tahun berikutnya.

Justeru laporan 2021 itu sepatutnya dibentangkan semasa sesi yang berakhir pada 24 Mac lalu.

“Kegagalan Suhakam untuk mengikut peruntukan akta penubuhannya sendiri membimbangkan dan menimbulkan tanda tanya tentang bagaimana Suhakam beroperasi dan memenuhi mandatnya.

"Kerajaan Malaysia juga harus bertanggungjawab atas kelewatan mengeluarkan laporan berkenaan kerana ia sepatutnya membantu Suhakam dalam menawarkan masa dan ruang untuk laporan itu dibentangkan dan seterusnya dibahaskan di Parlimen," kata kumpulan terbabit.

Menurut mereka lagi hakikat fakta bahawa pesuruhjaya baru tidak dilantik setelah lebih sebulan telah memberi kesan serius kepada keupayaan badan berkenaan berfungsi untuk mempertahankan hak asasi manusia di Malaysia.

Pada April, lima pesuruhjaya yang dilantik pada 2016 di bawah pentadbiran Najib Razak menamatkan tempoh perkhidmatan mereka selama dua penggal, iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan.

Anggota Suhakam dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas cadangan perdana menteri selepas berunding dengan jawatankuasa pelantikan yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha negara.

"Semua perkembangan terbaru ini membayangkan hubungan yang semakin tegang di antara Suhakam dan kerajaan, yang mungkin menjadi salah satu sebab lewatnya laporan tahunan," kata mereka.

Antara pertubuhan antarabangsa yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Forum Asia untuk Hak Asasi dan Pembangunan (Forum-Asia), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Rumah Korea untuk Solidariti Antarabangsa dari Korea Selatan, Yayasan Pemerkasaan Rakyat (Thailand), Bytes for All (Pakistan), Suara Progresif (Myanmar), Law and Society Trust (Sri Lanka), Odhikar (Bangladesh), Pertubuhan Advokasi Pembangunan Potohar (Pakistan) dan Joint Action for NHRI and Optional Protocols in Japan (Jepun).

Kumpulan itu berkata kerajaan semasa mempunyai hubungan yang lebih bersifat "konfrontasi dan tidak menyokong" Suhakam berbanding kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Hal itu termasuk, kata mereka, ahli eksekutif dan pihak berkuasa agama yang mengkritik Suhakam kerana menyeru penyelidik mengkaji kemungkinan mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia melalui perundangan.

Kerajaan juga, kata kumpulan terbabit, "memberi sedikit perhatian" kepada peranan Suhakam menasihati isu hak asasi manusia dan mengabaikan saranan badan tersebut termasuk untuk akauntabiliti polis yang lebih besar.

"Ini terbukti dalam rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang dibentangkan secara tergesa-gesa," katanya.

Oleh itu, menurut pertubuhan terbabit, mereka menggesa kerajaan dan Suhakam memberikan penjelasan mengenai kelewatan itu dan memastikan Laporan Tahunan 2020 dan 2021 dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen secepat mungkin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS