Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga emas buntu terima tunggakan bil air lebih RM5,000

Seorang warga emas yang menjaga anak kategori orang kurang upaya (OKU) di Kuantan, Pahang, buntu dan tidak dapat tidur lena selepas menerima tunggakan bil air berjumlah RM5,563.90.

Kum Mun Seng, 82 tahun, memberitahu tunggakan itu adalah bagi bil air sejak bulan April hingga Disember 2020.

Dia berkata, kelewatan menerima bil bulanan mengakibatkan dia tidak sedar tunggakan melebihi RM5,000.

"Untuk bulan April hingga Jun (2020) saya bayar bil macam biasa, RM3 atau RM3.50 sebulan sebab biasanya itulah (kadar) bil bulanan untuk rumah ini.

"Saya terkejut apabila menerima notis tunggakan (berjumlah RM5,563.90) sekitar bulan Julai (2020) sebelum dimaklumkan bahawa ada berlaku kebocoran paip bawah tanah yang saya tidak tahu hingga mengakibatkan bil meningkat begitu tinggi," katanya ketika ditemui di Taman Seri Setali, dekat bandar raya Kuantan, hari ini.

Mun Seng memberitahu dia keluarkan wang sendiri sebanyak RM700 untuk membaiki kerosakan itu pada bulan Disember 2020.

"Susah jugalah sebab saya tidak ada sumber pendapatan, harapkan bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anak saya (OKU) mental berumur 41 tahun juga ada terima (elaun) RM300 dari JKM," katanya lagi.

‘Kalau tak selesai, mesti potong’

Mun Seng berkata, dia menghubungi ahli dewan undangan negeri (Adun) Teruntum, Sim Chon Siang dan ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bagi mendapatkan bantuan melunaskan tunggakan bil berkenaan pada awal bulan April lalu.

"YB Sim buat surat dan hantar kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) pada 26 April untuk merayu supaya jumlah tunggakan dikurangkan, namun mereka (Paip) cakap tak boleh (kurangkan), tapi diberi pilihan untuk bayar secara ansuran," katanya.

"Saya sekarang tidak boleh tidur lena, selalu risau bila fikir apa nak buat kalau (bekalan air) kena potong, mereka (Paip) juga sudah dua kali hantar surat (notis), jadi kalau tak selesaikan (tunggakan), bekalan air mesti dia potong," kata Mun Seng lagi.

Kali pertama Paip menghantar notis amaran pada pertengahan bulan Mei dan terkini pada 16 Jun lalu, satu lagi notis amaran pemotongan dihantar ke alamat rumah Mun Seng.

Sim ketika ditemui di rumah warga emas itu berkata, pihak Paip sepatutnya lebih bertimbang rasa dan mengambil kira kesulitan dihadapi Mun Seng yang sedang menjaga seorang anak OKU.

"Saya fikir Paip boleh pertimbangkan (rayuan), tapi bila mereka jawab tidak boleh kurangkan tunggakan, saya tidak tahu bagaimana Mun Seng nak bayar.

"Cadangan Paip untuk bayar secara ansuran juga tidak logik, dia kena bayar RM925 sebulan, tidak termasuk bil semasa, bermula bulan Jun hingga November 2022.

"Mereka tidak ada sumber pendapatan, cuma dapat elaun dari JKM, dia dapat RM300 dan anaknya juga RM300, jadi macam mana nak bayar?" katanya.

Pihak Paip melalui Pengurus Daerah Kuantan, Noor Izwan Bahudin dalam surat jawapan bertarikh 27 Mei lalu yang ditunjukkan oleh Sim kepada media, memaklumkan permohonan rayuan pengurangan bayaran tunggakan tidak dapat diluluskan.

Alasan penolakan dibuat selepas merujuk kepada Seksyen 36(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 654) yang menyatakan bahawa kewajiban pemegang lesen pengagihan air untuk menyelenggara suatu sistem bekalan air awam hendaklah sehingga takat penghubung.

Ini bermakna had senggaraan Paip hanya sehingga meter sahaja, dan selepas meter adalah tanggungjawab sepenuhnya pengguna atau pemilik premis.

Sangat mengecewakan - Fuziah

Sementara itu, Fuziah yang turut mengunjungi rumah warga emas terbabit hari ini memaklumkan, tindakan pihak Paip untuk menolak rayuan dikemukakan Mun Seng melalui surat rasmi oleh Adun Teruntum itu adalah sangat mengecewakan.

"Mereka (Paip) sepatutnya boleh memgambil kira kes ini sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, tapi nampaknya warga emas yang menjaga seorang anak OKU terpaksa membayar juga tunggakan seperti diarahkan.

"Dia (Mun Seng) ada datang ke pejabat saya sebelum ini dan kita akan bantu selesaikan (tunggakan) walaupun kawasan ini bukan dalam Parlimen Kuantan.

"Sepatutnya ahli Parlimen Indera Mahkota selesaikan, tapi tidak mengapalah, Mun Seng cakap dia lebih kenal saya berbanding ahli Parlimen Indera Mahkota," katanya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota ialah Saifuddin Abdullah yang juga menteri luar.

Fuziah turut menyerahkan cek berjumlah RM5,600 sumbangan pusat khidmat ahli parlimen Kuantan kepada Mun Seng bagi menyelesaikan tunggakan bil air itu.

"Saya harap orang ramai turut membantu dengan menyalurkan sumbangan, tidak kiralah RM10 ke, berapa ke, ke tabung pusat khidmat ahli parlimen untuk memastikan lebih ramai orang kurang bernasib baik seperti Mun Seng boleh kita bantu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS