Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kemenangan setiap calon BN jadi keutamaan MCA - Wee
Diterbitkan:  Jun 19, 2022 10:02 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

Kemenangan setiap calon Barisan Nasional (BN) menjadi keutamaan MCA pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menurut Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata kesemua kerusi yang ditandingi BN adalah penting dalam membentuk kerajaan Persekutuan, meskipun ia tidak diwakili calon MCA.

“Kita melihat kemenangan BN bukan hanya pada satu-satu kerusi sahaja, kerana yang lebih bermakna adalah kita mahu kemenangan mutlak BN.

“Apa yang kita lihat adalah cara dan percaturan (BN) dalam memastikan kita diterima rakyat. Ini satu tindakan kolektif oleh BN yang mencakupi tiga parti utama iaitu Umno, MCA dan MIC,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerusi yang akan menjadi tumpuan MCA pada PRU15.

Wee berkata kesemua MCA bahagian juga akan melipatgandakan usaha bagi menghadapi PRU15 yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.

Sementara itu, Wee menafikan dakwaan bekas Ketua MCA Bahagian Pontian Datuk Tee Siew Kiong bahawa penggantungan keahliannya sebagai ahli MCA selama lima tahun adalah satu tindakan yang bersifat peribadi.

Wee mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang maklum balas terhadap dakwaan itu berikutan Tee bukan lagi ahli MCA setelah keluar daripada parti itu pada 26 Mei lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS