Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dzulkifli tak tolak kemungkinan sertai parti politik
Diterbitkan:  Jun 19, 2022 9:03 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana parti politik.

“Saya sendiri akan maklumkan kalau sudah menyertai mana-mana parti politik, perkara tersebut akan dimaklumkan bila tiba masanya.

“Saya tidak akan sembunyi hal ini dan tak perlu kita nak berselindung,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan 1,500 kilogram ikan cencaru secara percuma kepada orang ramai di Pokok Sena di Kedah hari ini.

Dzulkifli juga berkata beliau akan meneruskan kerja-kerja kebajikan di sekitar Parlimen Tasek Gelugor yang merupakan kampung halamannya.

Beliau berkata ia bagi meringankan beban masyarakat di kawasan itu ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Sekiranya saya tidak menyertai parti politik sekali pun, program kebajikan yang dibuat akan diteruskan mengikut kemampuan kami demi membantu rakyat dan penduduk kampung,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan skuad sukarelawan Pejabat Tan Sri Dzulkifli yang terdiri daripada golongan belia berumur lingkungan 18 hingga 40 tahun bagi membantu masyarakat di Tasek Gelugor dari pelbagai aspek termasuk tenaga kerja.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS