Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Pemimpin muda DAP temui Lee tanpa restu atasan
Diterbitkan:  Jun 19, 2022 3:14 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Lim Kit Siang berkata dia baru saja tahu ada pemimpin muda DAP berjumpa dengan Lee Lam Thye untuk meminta bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang itu bertanding di kerusi lain.

Dalam polemik terbaru yang berlaku di antara mereka susulan pendedahan dibuat Lee dalam bukunya, Lim berkata kejadian menjelang PRU 1990 itu bukan datang daripada pimpinan parti.

"Amat mengecewakan apabila Lee kekal dengan penipuannya yang mengatakan saya meminta dia bertanding di kerusi lain, sedangkan perkara itu tidak benar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lim semakan pada laman sesawangnya menunjukkan siri kenyataan media seperti berikut:

26 Sept: Saya mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh yang perletakan jawatan Lee sebagai Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan bukan untuk dia mempertimbangkan cadangan menyertai parti politik lain.

27 Sept: Tan Kok Wai dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai situasi DAP Wilayah Persekutuan

28 Sept: Arahan kepada semua pemimpin dan ahli DAP ialah untuk tidak membuat apa-apa kenyataan mengenai peletakan jawatan Lee bagi membolehkan isu ini reda.

"Saya katakan saya telah berjumpa dengan Lee sebanyak empat kali mengenai perletakan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan.

"Saya kekal optimistik yang satu penyelesaian akan dapat dicapai mengenai masalah ini, terutamanya selepas tempoh bertenang selama lima hari,” kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu lagi.

Wee gantikan Lee

Pada 29 Sept - genap tujuh hari sebelum pembubaran parlimen - kata Lim, Lee mengumumkan persaraannya daripada politik dan pergi ke luar negara dan tidak lagi dapat dihubungi.

Untuk perkembangan itu kata Lim dia memberi kenyataan yang dia tidak akan berputus asa untuk memujuk Lee mengubah fikirannya walaupun tahu peluang itu begitu tipis.

Persaraan Lee, kata Lim, juga merupakan kerugian besar kepada DAP dan perjuangan DAP mewujudkan sistem gabungan dua parti di negara ini.

Tambah Lim, jika jika benar dia memberitahu Lee yang Lee tidak akan dicalonkan bagi kawasan Bukit Bintang, mustahil untuk ia disembunyikan selama 32 tahun sama ada di dalam atau luar DAP.

Semalam, Lee berkata, dia tetap dengan dakwaannya bahawa usaha menolaknya keluar dari Bukiit Bintang menjadi punca dia meninggalkan DAP selepas berkhidmat di situ selama empat penggal.

Tegas Lee tidak ada sebab untuk dia mereka-reka cerita tentang kejadian itu dala memoirnya.

"Saya tidak berbua apa-apa jika ada sesetengah orang mempunyai ingatan terpilih.

"Saya telah katakan saya keluar DAP kerana diberitahu oleh Lim Kit Siang yang saya tidak akan bertanding pada PRU parlimen 1990 di kawasan Bukit Bintang tempat saya menjadi ahli Parlimen selama empat penggal," katanya.

Lee mendakwa dia diberitahu oleh kepimpinan DAP bahawa mereka telah mengenal pasti calon untuk menggantikannya di Bukit Bintang sebelum keputusannya untuk keluar parti.

Berdasarkan PRU tahun itu DAP meletakkan seorang peguam, Wee Choo Keong, sebagai calon di Bukit Bintang. Bagaimanapun Wee juga meninggalkan DAP pada 1998.

Menurut Lee, langkah DAP menolaknya ke kerusi lain dibuat kesan daripada gaya politiknya yang "tidak suka berseteru" dan tidak sesuai dengan kepimpinan parti.

Lee, Wee, Fan Yew Teng, Yap Pian Hon, Hu Sepang, Yeap Ghim Guan dan Kua Kia Soong adalah antara veteran DAP yang dikatakan bertelagah dengan kepimpinan parti semasa Lim menjadi setiausaha agung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS