Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA dakwa Lim cuba ambil kredit dari projek MRT2
Diterbitkan:  Jun 19, 2022 11:33 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Seorang pemimpin kanan MCA 'mengherdik' Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjimatkan berbilion ringgit wang pembayar cukai dalam projek Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya.

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng, berkata DAP harus bersikap jujur dan memberikan pujian kepada mana-mana pihak yang berhak mendapat penghargaan.

Katanya Fasa 1 MRT2 laluan Putrajaya sedang berjalan dan semakin popular berikutan pembukaannya pada hari Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, Lim mengeksploitasi operasi MRT2 dan cuba untuk ‘meraih populariti’ daripada usaha BN dengan mengaitkan kejayaan projek itu dengan hasil pentadbiran PH.

"Menjadi satu rahmat apabila PH tumbang selepas 22 bulan mentadbir negara. Jika tidak, MRT2 bukan sahaja dilaksanakan dalam skala kecil, malah ia mungkin tidak boleh dibuka untuk operasi," kata Tan.

Terdahulu, Lim dilaporkan berkata sikap berhemat PH ketika mentadbir negara selama 22 bulan dapat menjimatkan berbilion ringgit wang negara bagi projek MRT laluan Putrajaya.

Menurutnya, penjimatan itu juga membantu mengurangkan hutang dan faedah yang perlu dibayar oleh kerajaan menggunakan wang pembayar cukai.

Sementara itu Tan menegaskan walaupun projek itu bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat, PH mengambil langkah populis terhadap projek berkenaan dan secara paksa mengecilkan skalanya.

Memetik kenyataan MMC-Gamuda pada 10 Dis 2021 Tan mendakwa penjimatan kos oleh PH sebenarnya suatu pengabaian skop dan pengurangan spesifikasi keseluruhan projek terbabit.

"Bukankah secara kebetulan Lim gagal menyebut tentang kelewatan dalam projek itu tetapi hanya menonjolkan bagaimana PH ‘menjimatkan kos’?

"Apa yang dipanggil 'penjimatan kos' oleh PH adalah mengorbankan kemudahan dan keselesaan pengguna pengangkutan awam, serta kualiti dan integriti keseluruhan sistem MRT," tambahnya.

Tan berkata, ia termasuk penangguhanpembinaan dua stesen bawah tanah, pengurangan bilangan set tren dan pengurangan rangkaian sambungan dengan MRT, KTM, ERL dan monorel di stesen pertukaran.

Dia juga memetik pengurangan bilangan pintu masuk dan jambatan penghubung ke kawasan pembangunan berdekatan dan kapasiti tempat letak kereta bertingkat serta rasionalisasi kerja sistem elektrik dan mekanikal.

"Bukankah Lim tidak ikhlas untuk benar-benar memberi pujian kepada PH dalam menyelamatkan kesejahteraan pembayar cukai sedangkan merekalah yang menghalang dan mengecilkan keseluruhan projek dengan mengorbankan orang ramai?" kata Tan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS