Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq risau cadangan 'pelancongan kesukarelawanan' dari Nazri
Diterbitkan:  Jun 18, 2022 9:03 PM
Dikemaskini: 1:16 PM

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman mengkritik kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz berkata banjir tahunan negara boleh menjadi sumber "pelancongan kesukarelawanan."

Syed Saddiq, yang juga ahli parlimen Muar berkata sepatutnya usaha perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah banjir yang menyebabkan kemusnahan dan kehilangan nyawa.

"Risau saya bila dengar banjir tahunan boleh dijadikan peluang untuk pelancongan sukarelawan (volunteer tourism) dekat negara kita.

"Banjir nasional tahun ini saja seramai lebih 40 orang dah terkorban dan RM6.5 billion kita alami kerugian.

"Takkan kita rela korbankan 40 orang dan rugi RM6.5 billion semata-mata kita ada peluang untuk promosikan pelancongan sukarelawan.

"Patutnya ada langkah pragmatik untuk tangani banjir bukan nak galakkan lagi banjir," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Nazri dipetik Sinar Daily, versi bahasa Inggeris harian Bahasa Melayu Sinar Harian, bahawa pelancong boleh membantu dengan kerja sukarela semasa banjir.

"Jika anda tahu ia akan datang, maka mulakan perancangan sekarang.

Gambar fail.

“Mungkin kita boleh mengadakan pelancongan sukarela dengan orang ramai datang ke negara ini untuk membantu kita menghadapi banjir, dan ia bukan tentang mereka datang ke sini semata-mata untuk berseronok tetapi untuk mereka juga belajar,” katanya yang dipetik dalam portal Bahasa Inggeris Sinar Daily.

Dia memberi contoh Kuala Krai, Kelantan yang disifatkannya "seperti pesta" ketika banjir.

“Di Kuala Krai misalnya, banjir macam pesta. Setiap musim tengkujuh, kita ada pesta banjir, orang ramai datang.

“Sebab sekarang ada kesukarelawanan, warga asing datang buat kerja sukarela dan mereka bayar (untuk membeli tiket dan sebagainya),” katanya.

Syed Saddiq berkata lebih baik pelancong melawat Malaysia tanpa perlu menyaksikan sebarang bencana.

“Kalau dah bencana, kedai sana-sini tutup, jalan sana-sini tutup, akhirnya duduk sajalah dekat hotel tengok banjir dari tingkap bilik,” katanya lagi.

Dia memperbaharui gesaan agar kerajaan menangani masalah banjir negara dengan segera dan mengingatkan Putrajaya mengenai memorandum enam perkara Muda.

Ini termasuk pembentukan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai perubahan iklim, bencana dan alam sekitar dan menerajui agenda pengurangan risiko bencana di semua majlis tempatan.

Dia turut menggesa Agensi Pengurusan Bencana Negara dirombak bagi mengurangkan birokrasi dan menjadikan Majlis Keselamatan Negara lebih inklusif pada semua peringkat kerajaan.

Dia berkata kerajaan juga harus mendesak Akta Perubahan Iklim dan mempercepatkan Pelan Adaptasi Nasional.

Disember lalu, Taman Sri Muda di Selangor dan beberapa bahagian di Pahang dilanda banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pengurusan bencana yang lemah menyaksikan penduduk terkandas di atas bumbung semalaman.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS