Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib pertikai Muhyiddin kata tak terima sogokan sebab kanser
Diterbitkan:  Jun 18, 2022 11:51 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Bekas perdana menteri, Najib Razak mempertikaikan dakwaan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa dia tidak menerima rasuah sebanyak RM1.3 juta pada 2018 seperti yang didakwa di mahkamah semalam.

Muhyiddin ketika menafikan perkara itu semalam, berkata dia tidak pernah menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan mengatakan adalah mustahil menerima rasuah ketika sedang menghidap kanser dan menjalani rawatan.

"Benar?" soal Najib dalam catatan di Facebok pagi tadi.

Najib memetik laporan berita yang menunjukkan garis masa sebelum dan selepas Muhyiddin menjalani rawatan kanser serta tarikh ketika dakwaan sogokan itu dilakukan.

Menurut keterangan pengurus pentadbiran UKSB, David Tan di mahkamah semalam, RM1.3 juta itu dipindahkan kepada Muhyiddin secara tunai dalam tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Julai dan 23 Ogos 2018.

Bagi bayaran pertama berjumlah RM300,000 pada 4 Jun 2018, Najib memetik laporan berita yang mengatakan Muhyiddin melawat Bukit Aman pada hari itu.

Bagi bayaran kedua berjumlah RM500,000 pada 4 Julai 2018, Najib memetik laporan bahawa presiden Bersatu itu masih belum menjalani pembedahan.

Ahli parlimen Pekan itu turut memetik laporan berita yang melaporkan Muhyiddin telah berjaya menjalani pembedahan pada 12 Julai 2018.

Selain itu Najib juga memetik satu lagi berita yang melaporkan Muhyiddin keluar hospital pada 7 Ogos, dan mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Pagoh pada 14 Ogos tahun yang sama.

Muhyiddin didakwa menerima RM500,000 lagi pada 23 Ogos 2018, kata Najib.

Butiran pembayaran itu didedahkan ketika Tan memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Sistem Visa Asing (VLN) semalam.

Tan mengenal pasti Muhyiddin sebagai 'TSM' yang dicatatkan dalam lejar UKSB.

Dia juga berkata projek VLN itu terletak di bawah bidang kuasa Muhyiddin selepas mengambil alih Kementerian Dalam Negeri daripada Zahid.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS