Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis akan panggil individu terlibat perhimpunan Majlis Peguam
Diterbitkan:  Jun 17, 2022 5:00 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan sekumpulan peguam yang berhimpun di ibu negara hari ini bagi mengadakan perarakan untuk menuntut kebebasan sistem kehakiman.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan dibuat di bawah Seksyen 15 (3) Akta Perhimpunan Aman 2012, Peraturan 6 dan Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa peralihan ke Endemik 2022).

Noor Delhan berkata, kesemua individu yang terlibat dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

"Pihak polis menasihati orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih brekuat kuasa," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, ratusan peguam berhimpun di Padang Merbok pagi ini untuk berarak ke parlimen dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi menuntut kebebasan sistem kehakiman.

Bagaimanapun, perarakan itu dihalang selepas pihak polis mengadakan sekatan dan enggan membenarkan peserta perhimpunan melepasi sekatan tersebut.

Rundingan antara Badan Peguam Malaysia yang menganjurkan perhimpunan itu dengan pihak polis juga tidak membuahkan hasil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS