Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertemuan dengan Dr M bincang politik, bukan kes mahkamah - Zahid

Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa lima pertemuan membabitkan mereka antara Jun 2018 dan Feb 2020 adalah untuk membincangkan kes mahkamah dihadapi presiden Umno itu.

Pengerusi BN itu berkata, sebaliknya pertemuan dengan Mahathir yang merupakan perdana menteri pada 2018 adalah untuk merayu agar dia tidak membubarkan Umno dan membawa ahli parti itu menyertai Bersatu.

Mahathir ketika itu merupakan pengerusi Bersatu tetapi dipecat daripada parti itu pada penghujung 2020, sebelum mengasaskan Parti Pejuang Tanah Air.

Menerusi jawapan kepada pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Mei tahun ini, Zahid turut mendakwa dua daripada pertemuan dengan Mahathir pada 2020 adalah berkaitan perbincangan berikutan Langkah Sheraton pada penghujung Feb tahun itu.

Pada April lalu, Zahid yang merupakan bekas menteri dalam negeri memfailkan saman fitnah terhadap Mahathir berhubung kenyataan yang dibuatnya pada sidang media sebulan sebelumnya.

Saman itu difailkan susulan dakwaan Mahathir bahawa Zahid bertemu dengannya untuk melobinya agar dia (Zahid) terlepas daripada hukuman penjara.

Menerusi pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah itu pada 17 Mei, Mahathir mendakwa Zahid menemuinya sebanyak lima kali pada 7 Jun 2018, 13 Sept 2018, dan pada 23 hingga 25 Feb 2020.

Dalam jawapan kepada kenyataan pembelaan yang dilihat oleh Malaysiakini, Zahid mendakwa pertemuan pertama pada Jun 2018 adalah bersempena bulan Ramadan, di mana perjumpaan itu turut dikongsikan di laman Twitter dan Facebook.

"Dalam pertemuan ini juga, Defendan telah mencadangkan dan kemudiannya menggesa Plaintif untuk membubarkan Parti Umno dan menyeru ahli-ahli Umno (khususnya ahli-ahli parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri daripada Umno) untuk sertai defendan di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” dakwa Zahid yang mendakwa mempunyai keterangan dokumentar untuk dikemukakan di mahkamah.

Menurutnya ketika pertemuan itu berlangsung, dia masih belum didakwa di mahkamah atas sebarang pertuduhan atau dipanggil untuk sebarang siasatan.

Pertemuan turut dihadiri pemimpin Umno

Berhubung pertemuan 13 Sept 2018, Zahid mendakwa ia melibatkan perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara Umno dan Bersatu.

Plaintif mendakwa bahawa dalam pertemuan itu - yang turut dihadiri ahli Majlis Tertinggi Umno seperti Mohamad Hasan, Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid - Mahathir juga menggesa dia membubarkan Umno dan membawa ahlinya menyertai Bersatu.

Zahid berkata adalah tidak mungkin dia membangkitkan soal kes prosiding jenayah terhadapnya pada 7 Jun 2018 kerana pada tarikh itu dia masih belum didakwa di bawah sebarang pertuduhan ataupun dipanggil untuk sebarang siasatan.

Menurutnya, pertemuan pada 23 Feb 2020 dengan beberapa ahli politik pula dilakukan atas permintaan Mahathir.

Pemimpin yang didakwa menghadiri pertemuan itu ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; ketua whip parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) ,Fadillah Yusofl; Pengerusi GPS, Abang Johari Openg; timbalan presiden PKR ketika itu, Azmin Ali dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Zahid mendakwa dia dan pemimpin parti lain telah menyatakan sokongan kepada Mahathir untuk menjadi perdana menteri baru dan menubuhkan gabungan politik baru.

Berhubung pertemuan pada 24 Feb 2020, plaintif mendakwa ia merupakan pertemuan singkat dengan Mahathir berikutan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Zahid mendakwa pertemuan ringkas itu - yang didakwanya turut dihadiri Azmin dan Muhyiddin - tidak melibatkan sebarang perbicangan dan mereka hanya sempat bersalam yang ketika itu perlu ke Istana Negara.

Bincang kerajaan perpaduan

Berhubung pertemuan pada 25 Feb 2020 pula Zahid berkata defendan menyatakan kepadanya dan juga pemimpin-pemimpin parti politik lain berkenaan cadangan untuk mewujudkan satu bentuk kerajaan perpaduan yang hanya melibatkan ahli-ahli parlimen dalam parti politik.

Zahid mendakwa pertemuan dengan Mahathir yang ketika itu merupakan perdana menteri sementara turut dihadiri Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP ketika itu Lim Guan Eng, Abdul Hadi, Abang Johari, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin Umno, Hishammuddin Hussein.

Plaintif menegaskan bahawa tiga pertemuan pada Februari itu bukan berkaitan kes mahkamah membabitkannya sebaliknya bagi menyelesaikan kemelut politik negara ketika itu.

Zahid berkata dakwaan Mahathir berhubung kelima-lima pertemuan itu adalah dakwaan kosong semata-mata dan bersifat berkepentingan sendiri (self-serving).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, peguam Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi mengesahkan bahawa salinan jawapan kepada kenyataan pembelaan itu telah disampaikan kepada mereka.

Peguam itu berkata, permohonan injunksi inter-parte akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Julai.

Berdasarkan undang-undang, permohonan inter-parte dijalankan dengan kehadiran peguam daripada kedua-dua belah pihak.

Zahid sebelum ini memohon perintah injunksi ienterim untuk menghalang Mahathir daripada mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS