Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella, remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun, menangis teresak-esak ketika enam kanak-kanak dan remaja yang pernah di bawah jagaannya di rumah perlindungan itu termasuk mangsa, dibawa masuk ke mahkamah.
Siti Bainun, yang duduk di dalam kandang tertuduh tidak dapat mengawal perasaan semasa nama kanak-kanak dan remaja berumur tiga hingga 17 tahun itu disebut dan masuk bilik pembicaraan bagi sesi pengecaman di sebalik tirai, di mahkamah hari ini.
Sesi pengecaman itu dilakukan oleh tiga saksi iaitu pembantu pengurus syarikat Zurianty Sudin, 39, penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, dan pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40.
Media dan orang awam yang duduk di galeri awam juga tidak dibenarkan melihat wajah kanak-kanak dan remaja terbabit.
Terdahulu, peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun memohon supaya anak guamnya bersemuka dengan enam individu terbabit untuk melihat reaksi mereka.
“Pada peringkat ini tiada sebarang pembuktian yang saya nyatakan diberi oleh pendakwaan. Seorang daripada kanak-kanak itu tinggal dengan tertuduh, reaksi itu akan memberi bantuan kepada mahkamah untuk melihat sendiri keterangan dan kanak-kanak itu bukan saksi pendakwaan.
“Sekiranya mahu identiti mereka dirahsiakan, orang awam boleh diminta keluar dan tirai dibuka,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad berkata terdapat keperluan untuk melindungi individu terbabit kerana mereka adalah kanak-kanak dan mangsa (Bella).
“Saksi-saksi perlu membuat pengecaman dan keenam-enam individu dihadang supaya tidak dapat dilihat secara terus di dalam mahkamah,” katanya.
Hakim Izralizam Sanusi berkata tidak timbul isu untuk melihat reaksi dan sebagainya kerana ini proses pengecaman mahkamah bagi tujuan sama ada orang yang dirujuk adalah individu yang disebut oleh saksi dalam perbicaraan, bukan untuk merekod keterangan.
“Sekiranya pihak pendakwaan merasakan ada keperluan untuk orang awam keluar tiada masalah,” kata Izralizam.
Nor Azizah kemudian berkata tiada masalah untuk media dan orang awam berada di galeri awam kerana ia hanya proses pengecaman bukan mengambil keterangan.
Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan bersambung.
-Bernama