Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno: Tengku Zafrul perlu ada ciri 'wali' jika nak jadi calon PRU15
Diterbitkan:  Jun 17, 2022 12:29 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu memiliki ciri-ciri "wali" yang ditetapkan Umno sekiranya berhasrat untuk bertanding dalam PRU15, kata setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad, "wali" itu merujuk kepada boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.

Justeru, katanya, Tengku Zafrul walau diakui ada kelebihan tetap perlu berusaha lebih lagi memandangkan Umno tidak ketandusan "aset'" untuk ditawarkan dalam PRU15 nanti.

"Kalau kita nak lihat menteri kewangan (Tengku Zafrul), kita juga ada bekas menteri kewangan. Johari Abdul Ghani misalnya, jadi itu sebab saya sebut aset lama, aset baru, aset Umno ni ada ramai dan tidak ada satu aset pun yang telah diumum dapat calon di mana, bukan?

"Kalau dia nak jadi 'wali', dia kena berusaha, dan keputusan akhir itu tentulah akan dimuktamadkan kemudian oleh pucuk pimpinan tertinggi,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Ahmad juga membangkitkan jika Tengku Zafrul diterima penduduk dan anggota Umno di Kuala Selangor - kerusi Parlimen yang dikatakan menjadi sasarannya.

Sebelum ini Ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos berkata sedia membuka jalan kepada Zafrul untuk bertapak di Selangor sekiranya berhasrat untuk bertanding mewakili Umno.

Zafrul dikatakan berminat untuk bertanding di Kuala Selangor, bagaimanapun dihalang oleh pemimpin Umno bahagian itu.

Pada 13 Jun, Jamal mencadangkan Umno Selangor supaya mengangkat menteri kewangan itu sebagai "poster boy" parti itu di Selangor jika keputusan berkenaan boleh diterima Noh Omar yang juga Pengerusi Umno negeri.

Jamal berkata Umno memerlukan pemimpin muda berkaliber untuk dipertaruhkan dalam PRU15 nanti.

Tidak menyangkal kenyataan Jamal, Ahmad bagaimanapun berkata BN mempunyai tiga proses yang perlu dilalui sebelum membuat keputusan - iaitu di peringkat bahagian, negeri dan pusat, dengan kuasa muktamad di peringkat pusat.

“Jika tiga-tiga proses itu dipersetujui terhadap satu-satu calon ataupun majoriti daripada tiga proses itu ataupun proses yang utama pucuk pimpinan bersetuju terhadap seseorang calon, maka barulah jadi.

“...Tiga proses yang saya sebut tadi itu perlu dilalui oleh sesiapa pun, sama ada dia nak jadi poster boy, dia nak jadi calon, sehingga ada satu keputusan muktamad dan ada pengumuman daripada pucuk pimpinan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS