Ratusan peguam yang berhimpun bagi menyertai protes terhadap dakwaan cubaan melemahkan badan kehakiman, gagal dalam usaha mereka berarak ke Parlimen.
Ia selepas pihak penganjur tidak setuju dengan cadangan peserta untuk melepasi sekatan pihak polis dan bergerak dari tempat letak kereta dekat Padang Merbok, tempat perkumpulan awal mereka sejak sembilan pagi tadi.
Presiden Majlis Peguam Karen Cheah berkata peguam yang menyertai protes itu tidak akan menimbulkan kekecohan.
"Kita tak akan jadikan ini sarkas. Jika mereka halang kita daripada berarak, sebagai peguam kita tahu apa yang perlu dilakukan.
"KIta tahu apa yang perlu dilakukan dari segi jalan perundangan terhadap pihak berkuasa yang menghalang hak perlembagaan kita. Kita telah berhimpun secara aman," atanya selepas dua rundingan dengan polis yang menemui kegagalan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyatie Samsudin, yang pada mulanya dijangka menerima memorandum di Parlimen, sebaliknya turun ke lokasi untuk bertemu peserta.
"Hari ini saya hadir bagi pihak perdana menteri untuk menerima memorandum daripada Majlis Peguam.
"Cheah adalah sahabat lama dan saya juga bertemu ramai sahabat yang dulu saya kenal ketika jadi peguam di Melaka.
"Terima kasih atas segala kerjasama dan saya mohon maaf atas kesulitan yang berlaku hari ini. Semoga keadilan dan kebebasan kehakiman terus ditegakkan," katanya.
Dia berkata akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
'Hak asasi'
Terdahulu, turut dilihat di kalangan peserta yang kebanyakanya berpakaian hitam putih adalah bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan peguam dan juga aktivis, Haris Ibrahim yang berkerusi roda.
Hampir jam sepuluh pagi, pengerusi jawatankuasa Majlis Peguam Roger Chan mula berucap berhubung kepentingan badan kehakiman yang bebas.
Dia juga membangkitkan kehadiran polis dan menegaskan kebebasan berhimpun dan berarak sebagai hak asasi untuk semua.
"Ini hak yang asas. Kita ada tanggungjawab dan mereka (polis) perlu memastikan tanggungjawab ini dilaksanakan secara teratur," katanya.
Chan juga mengumumkan senarai individu yang akan berucap.
Ia mengundang seloroh daripada Thomas: "Kita nak berarak ke tidak? Sudah pukul 10 pagi."
Rundingan gagal
Chan mengetuai dua rundingan dengan polis yang menemui kegagalan.
Difahamkan polis setuju untuk membenarkan hanya 20 wakil untuk berarak tetapi penganjur tidak bersetuju dengannya.
Peserta mula bersurai sekitar jam 11.30 pagi sementara sekumpulan kecil berjalan ke arah Parlimen.
Resolusi Majlis Peguam untuk mengadakan protes itu dipersetujui lebih 600 anggotanya yang hadi di mesyuarat agung luar biasa pada Mei lalu.
Protes ini dibuat susulan siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas satu blog politik membuat beberapa dakwaan terhadapnya.
Mohd Nazlan, yang sebelum ini menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes rasuah RM42 juta SRC International, telah membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan itu.