Seorang pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dia tidak pernah nampak Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, menguruskan bayi di rumah tersebut, sebaliknya menyerahkan tugas berkenaan kepada tiga penghuninya.
Suhana Zam, 40, berkata sepanjang berada di kondominium di Wangsa Maju milik Siti Bainun atau keluar dengan wanita terbabit, tiga penghuni rumah berkenaan - Aida, Yasmin serta Balqis - memandikan serta menukar lampin pakai buang dua bayi, Tulus Jiwa dan Tulus Bael.
“Saya sendiri pernah tengok Tulus Jiwa semasa kecil ada masalah alergi kulit, dia bukan bayi yang aktif tetapi dia boleh mengesot dan dia mengesot bawah meja hampir lebih sejam, tiada siapa peduli.
“Tulus Bael pula selalu cedera, contohnya ada satu malam dia dibiarkan bermain-main sendiri sehingga jatuh dan mulutnya berdarah serta menangis.
"Apabila Aida, Yasmin dan Balqis pujuk, dia senyap, lepas itu biarkan dia (Tulus Bael) bermain dan jatuh di tempat yang sama serta berdarah.
"Budak-budak ini tidak ada penjagaan yang baik kerana kejadian ini berulang dan berlaku dalam masa yang singkat,” katanya.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Siti Bainun.
Tak dibenarkan buat apa-apa
Suhana berkata dia pernah menasihatkan Siti Bainun agar tidak berkasar dengan budak-budak di rumah tersebut. Contohnya kata saksi terbabit, mengenai cara wanita itu mencium Tulus Bael.
“Saya sendiri nasihat Siti Bainun apabila nampak dia buat sesuatu yang tidak betul, contohnya dia cium Tulus Bael sampai berbekas, saya tegur: 'Jangan buat macam tu Nun (Bainun), sakit tu.' Siti Bainun cakap: ‘Budak sindrom (Down) tak rasa sakit’.
“Saya tengok balkoni (rumah) tak selamat, ada letak meja tinggi dan kerusi. Saya tegur kalau budak-budak panjat jatuh nanti. Siti Bainun jawab: ‘Tak apa kak, mereka tak panjat,” katanya.
Saksi itu berkata dia yakin Bella tidur di bilik dobi kerana pernah melihat Siti Bainun bersama Bella ke bilik berkenaan dan wanita terbabit kembali semula ke ruang hadapan tanpa Bella.
Selain itu katanya remaja sindrom Down berkenaan juga tidak pernah dilihat bermain di ruang tamu bersama kanak-kanak lain.
Sementara itu, disoal Nor Azizah mengapa saksi itu tidak tolong mencuci najis selepas terhidu bau itu di bilik dobi, Suhana berkata, di rumah Siti Bainun itu semacam ada peraturan.
"Yasmin, Aida dan Balqis jaga Bella, Tulus Bael dan Tulus Jiwa.
“Sepanjang berada di kondominium itu, saya sendiri tidak dibenarkan membuat apa-apa kerja, sampaikan nak bawa gelas ke dapur pun dia tak bagi.
"Kalau saya nak makan pun mereka yang buat, apatah lagi basuh najis di bilik dobi, itu semua tidak dibenarkan,” kata saksi terbabit.
Berkenaan laporan polis mengenai kecederaan dialami Bella, Suhana berkata dia tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan kerana berpendapat memadai dengan laporan yang dibuat saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin.
“Zurianty sudah jumpa Bella dan dia telah membuat laporan polis. Selepas saya tahu Zurianty membuat laporan polis, saya beritahu Zurianty kalau polis nak saya beri keterangan, saya boleh datang beri keterangan.
“Saya tidak bersetuju dengan peguam apabila dikatakan tiada keperluan untuk membuat laporan polis sebab pada masa itu saya rasa risiko sekiranya saya membuat laporan yang mungkin akan mendatangkan bahaya lebih besar kepada Bella, sebab waktu itu tidak sesuai dan saya tidak dapat pastikan Bella dapat dibawa keluar dari rumah itu,” katanya.
Nor Azizah: Peguam ada cadang, pada masa kamu meminta Zurianty tengok keadaan Bella, kamu boleh telefon ambulans, kenapa kamu tidak telefon?
Suhana: Saya tak telefon sebab saya tak pasti bagaimana keadaan Bella, dalam keadaan tenat atau OK, sebab itu kami setuju Zurianty tengok Bella dahulu.
Nor Azizah: Semasa disoal peguam mengenai keterangan kamu yang makan cili banyak, berdiri lama dan lebam adalah sebagai sesuatu yang ekstrem, kamu katakan kamu setuju, kenapa kamu setuju?
Suhana: Saya setuju yang paksa makan cili banyak, berdiri lama perbuatan yang ekstrem… tetapi mengenai lebam di muka Bella tidak boleh kata ekstrem sebab saya tidak tahu bagaimana lebam itu berlaku.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Feb dan Jun 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi, bersambung esok.
- Bernama