Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi mengaku hantar bagasi berisi RM3j kepada Zahid

Bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) David Tan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam, dia menghantar bagasi berisi RM3 juta kepada Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Seri Satria, Putrajaya.

Tan, 47, bagaimanapun tidak ingat bila penghantaran itu dilakukan tetapi menyatakan ia adalah kali kedua dia ke kediaman rasmi Ahmad Zahid bersama bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun.

Dia berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Kata Tan, dia memasukkan wang itu ke dalam bagasi beroda dan meninggalkannya di ruang tamu rumah tersebut.

Ditanya mengenai penghantaran pertamanya, saksi itu berkata: “Saya ke rumah Ahmad Zahid dengan Wan Quoris (bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani).”

“Kami ke ruang tamu (rumah Ahmad Zahid), kemudian Wan Quoris mula bercakap mengenai operasi perniagaan dan juga isu politik. Selepas itu, Wan Quoris meminta diri dan keluar dari bilik tersebut.

“Kemudian saya mengambil sampul (yang berisi wang itu) dan memaklumkan Datuk Seri bahawa ini sampulnya serta meninggalkan ia di atas meja, salam Datuk Seri dan meninggalkan bilik itu,” katanya.

Semasa membacakan pernyataan saksinya, Tan berkata dia ialah individu yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Ahmad Zahid setiap bulan.

“Saya diminta berbuat demikian oleh Harry (Lee). Saya juga beberapa kali terlibat menghantar wang tunai kepada Datuk Seri (Ahmad Zahid). Saya telah membuat catatan untuk menunjukkan penghantaran wang tunai secara bulanan kepada Datuk Seri bermula dari Oktober 2014 hingga Ogos 2018,” katanya.

Dia juga berkata wang yang digunakan UKSB sebagai bayaran bulanan dan sekali beri tidak diambil dari akaun syarikat itu sebaliknya daripada rakan kongsi perniagaan di Hong Kong.

“UKSB tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung pembayaran itu, justeru itu saya terpaksa meminta rakan kongsi kami untuk membantu.

“Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya secara tunai.

"Selepas menerima wang tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul yang bertutup,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS