Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga mohon kematian pengasas Dnars disiasat lanjut

Menuntut agar kes kematian tiga tahun lalu disiasat lebih lanjut, keluarga pengasas produk kosmetik Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban, tampil membuat laporan di Balai Polis Tumpat, hari ini.

Seorang ahli keluarganya ketika dihubungi mengesahkan mereka membuat laporan itu agar kes tersebut disiasat lanjut selepas mengesyaki kematian usahawan terbabit dipengaruhi unsur lain.

"Selepas kematian allahyarham kami ahli keluarga melantik peguam untuk mendapatkan maklumat dan hasilnya didapati punca kematian allahyarham diragui.

"Kami mengesyaki kematian Faziani bukan berpunca daripada kemalangan semata-mata, sebaliknya ada unsur lain yang menyebabkan kami kini tampil membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi media di Kota Bharu hari ini.

Faziani dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam satu kemalangan di Pattani, Thailand, pada 18 Mei 2019 manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim, turut mengalami kecederaan.

Kemalangan itu membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dengan sebuah lori.

Kata jurucakap itu ekoran laporan yang dibuat hari ini, polis sudah mengambil keterangannya.

"Kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut," katanya yang enggan identitinya didedahkan selepas mendapat nasihat peguam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Amran Dolah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat keluarga allahyarham.

Katanya, polis Tumpat akan merujuk laporan berkenaan ke Bahagian Perundangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan terlebih dahulu memandangkan kes berkenaan berlaku di Thailand.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS