Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang desak tarik balik warta pengambilan tanah Kg Sg Baru

Tidak puas hati dengan proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, parti Pejuang hari ini mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim memansuhkan atau menarik balik pewartaan pengambilan tanah di situ.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata pemansuhan pewartaan pengambilan tanah akan membuka ruang perbincangan dan rundingan di antara penduduk dengan pemaju secara lebih adil dan telus tanpa unsur tekanan, paksaan dan ugutan pengusiran.

"Pada tahun 2019, ketika itu ketua pembangkang iaitu perdana menteri masa kini Ismail menyatakan bahawa proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, tidak boleh dibenarkan.

"Katanya, mana mungkin, tanah milik individu milik peribadi diambil untuk tujuan bagi pembangunan komersial. Ini bercanggah dengan sistem perundangan di negara kita. Ini dinyatakan oleh perdana menteri ketika itu di Dewan Rakyat.

"Justeru itu, Pejuang mendesak Perdana Menteri dan YB Menteri Wilayah Persekutuan membuat keputusan segera supaya satu arahan dikeluarkan bagi memansuhkan atau menarik balik pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 35 Akta Pengambilan Tanah 1960 atau di bawah peruntukan statutori lain," kata Mukhriz dalam kenyataan media.

Kenyataan itu dibacakan oleh Khairuddin Abu Hassan di hadapan pemberita di depan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beberapa wakil penduduk Kampung Sungai Baru bersama anggota Pejuang membuat laporan SPRM berhubung dakwaan lisan oleh wakil pemaju kepada penduduk mendakwa bahawa Pemaju telah membelanjakan hampir RM42 juta.

"Pejuang menuntut supaya satu kertas siasatan dibuka oleh SPRM untuk menyiasat aliran penggunaan dana tersebut dan sama ada wujud sebarang sogokan, salah guna kuasa dan sebagainya yang membabitkan pegawai di Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan pegawai-pegawai di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang terlibat dalam isu pengambilan tanah ini," katanya.

"Siasatan SPRM ini adalah perlu kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki sendiri sekitar 10 April 2021 telah mengeluarkan kenyataan bahawa kes rasuah berskala besar telah dikesan mula meningkat akibat kesan kegawatan ekonomi dan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai golongan yang terdesak menjadikan rasuah dan sogokan sebagai jalan mudah untuk keluar dari himpitan peningkatan kos sara hidup dan masalah kewangan peribadi," tambahnya.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Pada Julai tahun lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Namun, penduduk, khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh PTGWPKL.

Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS