Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imej satelit itu operasi lombong, bukan pencarian nadir bumi - pakar

Struktur yang digambarkan dalam imej satelit tapak di Hulu Perak berhampiran Gerik adalah untuk operasi perlombongan, dan bukan untuk mengenal pasti sama ada terdapat nadir bumi di tapak itu, kata penyelidik alam sekitar dan perhutanan Lim Teck Wyn.

“Imej satelit anda memang menunjukkan struktur kolam larutan.

"Struktur ini nampak seperti sebahagian daripada operasi perlombongan dan bukan hanya lubang penerokaan yang digali semasa peringkat pencarian," kata Lim kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Kolam larutan digunakan untuk menyimpan larutan kimia dalam proses perlombongan.

Selepas Malaysiakini melaporkan imej satelit yang kelihatan menunjukkan kerja telah dimulakan di kawasan itu sebelum projek itu diluluskan, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menafikan perkara ini.

Sebaliknya, Saarani berkata imejan itu menunjukkan kerja sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada terdapat nadir bumi di tapak itu.

Tapak Hulu Perak telah diperuntukkan untuk perlombongan lantanida, iaitu 15 unsur kimia, biasanya dikenali sebagai nadir bumi, dan digunakan untuk membuat elektronik.

Projek itu terletak di koridor ekologi yang menghubungkan Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Bintang Hijau, yang menjadi rumah kepada hidupan liar terancam termasuk Harimau Malaya.

Ia adalah sebahagian daripada Central Forest Spine (CFS), yang merupakan rangkaian koridor ekologi yang membolehkan hidupan liar bergerak dari satu kompleks hutan ke kompleks hutan yang lain.

Saarani pada 23 Mei tahun ini berkata penilaian kesan alam sekitar (EIA) projek itu telah diluluskan seminggu sebelum itu.

Bagaimanapun, pegawai lapangan Sahabat Alam Malaysia, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata semakan di Peta Google menunjukkan bahawa struktur kolam larutan itu telah didirikan sebelum EIA diluluskan.

Lim (gambar) berkata kerajaan persekutuan harus mempertimbangkan untuk membuat perjanjian kewangan dengan kerajaan negeri Perak untuk memastikan ia melindungi CFS.

Dia menegaskan bahawa banjaran Bintang Hijau adalah salah satu habitat terakhir badak sumbu Perak yang diketahui, yang kali terakhir dilihat di kawasan itu pada 1990-an.

Tambahnya, koridor CFS di sana penting untuk harimau, beruang matahari dan spesies hidupan liar lain yang dilindungi sepenuhnya.

“Sayang sekali kerajaan negeri Perak tidak mengambil kira kesan hidupan liar dalam projek ini.

“Semua projek di koridor CFS harus menilai kesannya terhadap hidupan liar. EIA tidak sepatutnya diluluskan tanpa komponen hidupan liar ditangani,” kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS