Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Balak, mineral, artifak dikeluarkan sebelum bina empangan Nenggiri'

Kerajaan Kelantan menjelaskan hasil kayu, sumber mineral dan khazanah bersejarah akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum pembinaan empangan Nenggiri, Gua Musang, dimulakan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata, perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai perkara itu sudah dibuat dan pelbagai aspek diambil kira sejak pembinaan projek hidroelektrik itu dirancang.

"Empangan Nenggiri ini apabila kita wartakan kawasan empangan memang akan ambil kayu keluar dulu, kalau tidak ia akan tenggelam. Kalau tenggelam tak boleh buat apa-apa.

"Jadi kita buat perbincangan dengan TNB supaya kita boleh keluarkan dahulu (balak) sebelum ditenggelami air, kerajaan akan dapat hasil.

"Kawasan empangan Nenggiri melibatkan keluasan 5,000 ekar, kawasan kita keluarkan kayu itu tak pastilah. Ada juga kawasan yang mempunyai mineral, jadi kita bagi kepada syarikat yang sudah ada kelulusan untuk keluarkan mineral dulu sehinggalah tempat itu ditenggelami air, jadi kita akan dapat hasil, bukan saja-saja nak ambil kayu," katanya.

Mohd Amar berkata demikian ketika ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, majlis pecah tanah bagi projek bernilai RM5 bilion berlangsung dan dijangka mula menjana elektrik pada pertengahan 2027 serta bakal meningkatkan kapasiti tenaga elektrik boleh diperbaharui di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu Mohd Amar berkata, selain kayu dan mineral, khazanah bersejarah seperti artifak-artifak di Gua Cha yang turut terkesan dengan pembinaan kemudahan itu akan turut dikeluarkan.

Menurutnya naib presiden PAS itu lagi, TNB dengan kerjasama pasukan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan kerjasama dan melakukan kajian untuk mengeluarkan sumber arkeologi yang ada.

"Kalau ikutkan gua itu akan tenggelam, tapi kita berbincang dengan TNB supaya dipindahkan, sekarang ini TNB dengan kerjasama pasukan penyelidik daripada UKM untuk buat kajian dan bagaimana nak pindah artifak-artifak yang ada.

"Jadi semua itu sedang dibuat perbicangan oleh TNB, sebab itu dijalinkan kerjasama dengan banyak pihak seperti kosultan bahagian sosial, warisan dan lain-lain," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS