Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi PKR Sabah menang saman fitnah RM100,000
Diterbitkan:  Jun 15, 2022 7:12 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Mahkamah Rayuan menyampaikan keputusannya hari ini dalam Saman fitnah yang dimulakan oleh Pengerusi PKR Sabah Christina Liew di Mahkamah Tinggi terhadap Leksun Injil.

Di Mahkamah Tinggi, hakim perbicaraan mendapati Injil, seorang pekebun kelapa sawit, bertanggungjawab kerana mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap Liew berhubung Skim Ladang Bagahak.

Dalam video tular yang disiarkan pada Mei 2018, Injil mengeluarkan kenyataan berniat jahat terhadap Liew di Pasar Ahad Jalan Gaya tiga hari sebelum hari pengundian PRU14, di mana Liew adalah calon PKR untuk Api Api dan Tawau.

Dalam video itu, Injil boleh dilihat melemparkan kenyataan yang menghina Liew, menggelarnya penipu dan calon yang tidak sesuai.

Injil kemudian merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Panel tiga anggota, terdiri daripada hakim Abdul Karim Abdul Jalil, Abu Bakar Jais dan Supang Lian, dalam keputusan sebulat suara, mendapati tiada merit dalam rayuan Injil.

Justeru, panel itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Leonard David Shim memberikan ganti rugi sebanyak RM100,000 yang perlu dibayar oleh Injil kepada Liew. Injil juga diberi injunksi, melarang sama ada dirinya, orang suruhan atau ejennya daripada menerbitkan atau menyumbang kepada penerbitan video yang memfitnah Liew.

Selain itu, Liew telah diberi faedah ke atas ganti rugi pada kadar lima peratus setahun dari tarikh permulaan tindakan sehingga tarikh penghakiman dan selepas itu sehingga tarikh realisasi. Injil juga dikenakan bayaran peruntukan berjumlah RM50,000.

Liew diwakili peguam Alex Decena dan Jordan Kong, manakala peguam Yong Yit Jee dan Shim Mong Seng mewakili Injil.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS