Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Platform Kawasanku bebas dari risiko data peribadi bocor
Diterbitkan:  Jun 15, 2022 4:06 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memberi jaminan semua data dipaparkan melalui platform Kawasanku yang dilancarkan Isnin lalu tidak membabitkan data peribadi penduduk negara ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin, berkata platform itu hanya mengandungi informasi berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

"Data peribadi ini menjadi satu perkara teras dalam statistik negara dan DOSM ada sistem yang melindungi data individu. Ini bukan data individu tapi maklumat yang telah dijadikan statistik.

"Setakat ini DOSM berjaya mengekalkan supaya data individu agar terpelihara," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Mohd Uzir menambah apabila DOSM diminta untuk melakukan sesuatu oleh kerajaan, jabatan itu akan memastikan maklumat yang dikumpul itu terus terpelihara.

Ketika ditanya mengenai usaha kerajaan bagi memastikan isu kebocoran data peribadi dapat dikekang, Mohd Uzir menjelaskan terdapat agensi dipertanggungjawabkan bagi perkara itu.

"Saya rasa di peringkat kerajaan kita ada agensi-agensi yang berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara.

"Memang dari semasa ke semasa mereka mengeluarkan pekeliling bagi memastikan keselamatan data peribadi," katanya.

Platform Kawasanku itu memaparkan statistik kependudukan dan indikator demografi serta sosioekonomi peringkat granular yang boleh menjadi nadi kepada perancangan lebih khusus dan spesifik mengikut bidang fokus di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) sebagai rujukan dan analisis perbandingan.

Kawasanku turut menyediakan perbandingan 'visualisation map' di peringkat parlimen dan DUN untuk beberapa indikator.

Antaranya maklumat kepadatan penduduk, pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan, akses kepada bekalan elektrik dan air, serta peratus permukaan diliputi hutan.

Inisiatif Kawasanku boleh diakses oleh orang ramai melalui pautan https://kawasanku.dosm.gov.my/.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS