Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menunggu pertemuannya dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan kedudukan Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.

Ahli Parlimen Pagoh itu berpandangan menteri industri perladangan dan komoditi itu perlu diganti kerana merupakan menteri Bersatu semasa memegang jawatan berkenaan.

"Keputusan melantik siapa (ganti Zuraida), itu hak perdana menteri dan kita akan calonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) ke-6 hari ini.

Ketika ditanya sama ada Bersatu akan melantik muka baru, Muhyiddin minta semua pihak menunggu sehingga pengumuman calon.

Tambahnya, tarikh pertemuan itu belum ditetapkan lagi.

Untuk rekod, Ismail Sabri dan Zuraida masing-masing dalam lawatan kerja ke Jepun dan Turki dua minggu lalu.

Pada 26 Mei, Zuraida mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia.

Zuraida berkata dia akan membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri dengan perdana menteri.

Zuraida juga berkata dia akan terus menyokong kerajaan Ismail Sabri.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menafikan khabar angin yang tersebar bahawa Menteri Kanan Azmin Ali dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat juga akan berpaling tadah daripada Bersatu.

"Kenapa tak kata semua keluar (Bersatu), lagi besar berita. Setahu saya tidak betul (Azmin, Rashid mahu keluar Bersatu). Saya rapat dengan Azmin, dia adalah menteri yang datang daripada Bersatu dan kita kerap berbincang bukan saja soal masuk keluar (parti), (tapi juga) soal masa depan," katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, dia pernah bertemu Rashid semasa sambutan Hari Raya dan ahli parlimen Batu Pahat itu tidak menyatakan hasrat untuk keluar parti.

Muhyiddin menyifatkan khabar angin itu tidak berasas, mempersoalkan mengapa serangan ditujukan kepada Bersatu.

"Mengapa orang menyasar dan memberi perhatian kepada Bersatu, kita hanya parti kecil," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS