Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai Ambank tak tahu jika pelanggan persendirian arah transaksi RM49j

Seorang pegawai AmBank hari ini memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui sama ada pelanggan persendirian memberi kebenaran untuk lebih RM49 juta dalam urus niaga pertukaran asing (FX).

Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap Najib Razak, pengurus kanan jabatan jualan FX bank itu Rosliza Ishak berkata dia hanya berurusan secara langsung dengan pengurus perhubungan pelanggan persendirian itu, Joanna Yu.

Semasa dalam pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi pendakwaan ke-25 itu berkata urusannya dengan Yu adalah berhubung enam transaksi pertukaran asing antara 23 Jun dan 19 Dis 2014.

Rosliza berkata unitnya menerima arahan untuk memasukkan pesanan bagi urus niaga pertukaran asing yang melibatkan dua akaun pelanggan persendirian, AmPrivate Banking-MR dan AmPrivate Banking-1MY.

Dia bersetuju dengan Aizuddin bahawa dia tidak tahu siapa pemilik dua akaun pelanggan persendirian ketika itu kerana bank itu mempunyai dasar menyekat akses kepada identiti pelanggan persendirian.

Aizuddin: Apabila anda diarahkan ketika itu, adakah anda diberitahu ia adalah akaun Najib?

Rosliza: Tidak, saya tidak tahu sama ada ia adalah akaun Najib ketika itu. Saya hanya tahu bila siasatan bermula.

Aizuddin: Tetapi bukan pada masa material (pada 2014)?

Rosliza: Ya.

Menjawab soalan Aizuddin sama ada dia tahu sebenarnya Yu telah memaklumkan kepada pelanggan persendirian itu mengenai transaksi berkenaan, Rosliza berkata dia tidak mengetahui perbualan sebenar antara Yu dan pelanggan persendirian itu.

Semasa kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap Najib di hadapan mahkamah berasingan, Yu memberi keterangan untuk pihak pendakwaan bahawa dia adalah pengurus perhubungan Najib.

Pasukan pembelaan bekas perdana menteri, dalam kes itu, telah berhujah bahawa Najib tidak mengetahui tentang salah laku di SRC, dan bahawa Yu didakwa menerima arahan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low).

Pertukaran asing yang menjadi pertikaian melibatkan pemindahan daripada entiti antarabangsa Vista Equity International Partners dan Blackrock ke dalam akaun AmPrivate Banking 1MY dan AmPrivate Banking MR.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Vista Equity dan Blackrock, yang masing-masing berpangkalan di Seychelles dan Barbados, didakwa dikaitkan dengan Low.

Enam transaksi itu dipertikaikan oleh pihak pendakwaan sebagai sebahagian daripada empat pertuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Najib.

Prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Tertuduh dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Selain bekas perdana menteri dan menteri kewangan, Najib juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat pertuduhan rasuah di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Berkenaan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan di 1MDB dilakukan oleh Low dengan restu Najib.

Pasukan pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bahawa dia tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan 1MDB yang lain.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS