Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Nak bercakap pasal PRU15 biarlah ada autoriti

Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa menggesa mana-mana pihak yang mahu bercakap atau menggesa pilihan raya umum ke 15 diadakan segera biarlah yang berautoriti.

Annuar yang juga menteri Komunikasi dan Multimedia berkata ketetapan Umno berhubung PRU15 masih lagi samar-samar.

“Yang pertama adakah parti sudah buat keputusan bila nak pilihan raya? Belum.

“(Jadi, yang asyik bercakap soal PRU itu adalah), individu. Jadi, bila individu kita kena tengok pula pada kedudukan dia.

“Kalau yang nak bercakap itu biarlah presiden, timbalan presiden atau T5 (lima pemimpin tertinggi Umno). Itulah orang-orang yang ada autoriti bercakap soal bila (PRU).

“Setakat yang saya tahu dan kalau saya tak salah, parti belum lagi memutuskan apa-apa,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2021 Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Putrajaya, hari ini.

Annuar berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi hari ini yang membidasnya kerana menolak gesaan supaya PRU15 diadakan segera.

Kata Puad, Annuar tidak boleh merendah-rendahkan kebijaksanaan rakyat yang memilih kerajaan stabil di PRN Melaka, Sarawak dan Johor.

Mengulas lanjut perkara itu, Annuar yang juga ketua bahagian Umno Ketereh berkata kerajaan yang ada hari ini bukanlah daripada satu parti sahaja.

“Ini kerajaan berbagai parti. Jadi, bila nak bubar kerajaan selain daripada Umno, parti-parti lain juga berhak memberikan pandangan.

“Sebab kalau setakat Umno saja bubar, yang lain tak bubar, kerajaan tetap ada juga

“Sebab perkara ini satu tajuk…yang kalau pemberita nak tulis kena faham betul-betul bukan saja nak dapatkan reaksi untuk berita panas.

Umno tak bincang apa-apa lagi

“Saya tak nak terjebak dalam polemik, orang yang kata sokong, kata itu dan itu… tak selesai.

“Ambil perkara asas, pertama, Umno sendiri tak bincang apa-apa lagi dan tak buat keputusan apa-apa lagi,” katanya.

Jelas Annuar, semua orang boleh beri pendapat namun kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sangat komited untuk meneruskan segala kerja yang telah diputuskan dan diasaskan oleh pentadbirannya.

"Jadi, kena bezakan berita daripada orang yang berautoriti dengan orang-orang biasa.

“Dalam soal dasar parti, saya orang biasa dan hanya ketua bahagian Ketereh.

“Jadi, pendapat saya itu pendapat ketua bahagian. Tapi kalau saya bercakap soal kerajaan makanya saya bercakap atas kapasiti saya sebagai anggota jemaah menteri. Kalau tanya kuasa MT, saya bukan MT.

“Pada saya, soal pilihan raya ini parti belum putuskan apa-apa. Maka, pada saya soal pilihan raya ini tak berbangkit dan kita perlu tunggu saja,” tambahnya.

Sementara itu, Annuar juga menafikan spekulasi gesaan mengadakan PRU15 kerana terdapat usaha mahu menjatuhkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Tidak, ini adalah tahun kelima parlimen ke 14. Penggal kelima Parlimen ke 14 memang penggal pilihan raya.

“Jadi, kalau orang bercakap pasal pilihan raya pun memang ok lah sebab masa ini masa orang bercakap tentang pilihan raya tetapi yang bercakap itu ada autoriti atau pun tidak?

“Yang tak ada autoriti beri pendapat. Tak apalah semua orang nak beri pendapat. Orang ini nak cepat, orang ini kata kena lambat, ada yang kata lepas belanjawan.

"Tak apalah, itu satu kelaziman apatah lagi sekarang kita ada media sosial, siapa-siapa boleh beri pendapat.

“Tiada siapa yang betul dan tiada siapa yang salah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Annuar kalau kepimpinan tertinggi BN sudah sedia maka pilihan raya umum perlu disegerakan.

“Tapi ada pula yang mengatakan saya takut nak mengadakan pilihan raya. Yang bercakap saya takut itu sendiri kalah dalam pilihan raya.

“Orang menang mana ada takut, yang kalah itu yang takut. Kami orang menang, mana ada takut. Tapi itu cakap-cakap politik, jadi kita senyum sajalah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS