Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hukuman mati mandatori relevan untuk kes jenayah melampau'
Diterbitkan:  Jun 13, 2022 4:14 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Gerakan bersetuju bahawa hukuman mati mandatori pelu dimansuhkan berhubung kes berkaitan dadah dan budi bicara diberikan kepada hakim perbicaraan.

Bagaimanapun setiausaha agung parti itu, Mak Kah Keong berkata dalam beberapa kes jenayah melampau, hukuman mati masih relevan.

“Kita tidak boleh menggunakan satu standard yang sama untuk semua kesalahan sebab setiap kesalahan yang dilakukan adalah berbeza.

“Walaubagaimanapun saya ingin menyatakan hukuman mati mandatori masih ada relevan untuk sesetengah kes jenayah yang melampau.

“Saya ingin menjelaskan pemansuhan hukuman mati mandatori tidak memansuhkan hukuman mati. Maksudnya hukuman mati masih ada tetapi pada masa yang sama hukuman penjara juga diberi kepada hakim bicara untuk memilih sama ada dijatuhkan hukuman mati atau dipenjarakan,” kata Mak.

Dia berkata, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada warga, ahli keluarga mangsa dan rakyat berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Rata-rata daripada mereka ingin mengekalkan hukuman mati mandatori tersebut untuk beberapa kesalahan,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

Dalam satu kenyataan, dia berkata Putrajaya memutuskan untuk menggantikan peruntukan hukuman mati mandatori dengan jenis hukuman lain yang akan diputuskan oleh mahkamah.

Keputusan itu dicapai selepas Wan Junaidi membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu.

Pada sidang akhbarnya, hari ini, menteri itu berkata bahawa ketika ini terdapat 1,342 banduan yang hukuman mati mereka ditangguhkan oleh moratorium dan kerajaan akan mengkaji jika rancangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori boleh dilaksanakan secara retroaktif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS