Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'AmBank tukar £8.7 juta jadi RM45 juta untuk akaun Najib'

AmBank telah menukar lebih £8.7 juta (pound sterling) kepada lebih RM45 juta untuk akaun pelanggan persendirian 880 antara 21 Okt dan 19 Dis 2014, kata saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Naib presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan bank itu, Salmah Daman Huri memberi keterangan bahawa penukaran £8,706,021.92 pound sterling kepada RM45,837,485.70 dilakukan melalui lima transaksi melibatkan akaun AmBank 2112022011880.

Semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak hari ini, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata pada masa yang material, dia tidak mengetahui identiti pemegang akaun tersebut kerana jabatannya ketika itu tidak mempunyai akses kepada identiti akaun pelanggan peribadi.

(Jabatannya hanya memproses urus niaga pertukaran asing wang yang masuk ke akaun pelanggan persendirian, dengan identiti pemegang akaun hanya diketahui oleh pengurus perhubungan bank yang berurusan dengan pelanggan).

Dia berkata pertukaran matawang asing itu melibatkan pemindahan daripada Vista Equity International Partners ke dalam akaun 880 di bawah nama AmPrivate Banking 1MY.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Vista Equity, yang berpangkalan di Seychelles, didakwa dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed, Salmah menjawab bahawa dia hanya mengetahui identiti pemegang akaun itu ialah Najib, selepas kenyataannya direkodkan oleh SPRM sekitar 2018.

Wan Aizuddin: Amprivate Banking-1MY (akaun 880), adakah anda tahu identiti pemegang akaun?

Salmah: Semasa transaksi, saya tidak tahu.

Wan Aizuddin: Anda baru tahu selepas siasatan?

Salmah: Ya, melalui pegawai penyiasat.

Saksi itu juga memberi keterangan bahawa dia tidak dapat mengesahkan transaksi pertukaran asing tersebut benar-benar datang daripada Najib kerana jabatannya berurusan dengan pengurus perhubungan pemegang akaun berhubung transaksi berkenaan.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Najwa Bistamam, Salmah berkata sepanjang pengetahuannya, pihaknya tidak pernah menerima sebarang ‘laporan’ daripada Najib berhubung urus niaga pertukaran asing yang banyak itu.

Difahamkan, ‘laporan’ di sini merujuk kepada sebarang input atau aduan daripada Najib berhubung urus niaga pertukaran mata wang asing itu.

Pada Khamis minggu lalu, Salmah memberi keterangan bahawa AmBank menukar AS$710 juta kepada RM2.1 bilion untuk seorang pelanggan persendirian.

Keterangannya hari ini menambah bahawa transaksi tersebut (yang diberitahu melalui keterangan minggu lepas) serta transaksi tambahan dalam keterangannya hari ini melibatkan akaun Najib.

Pada 17 Mei, bekas ketua pegawai kewangan 1MDB, Azmi Tahir bersetuju dengan pendakwaan bahawa lebih RM45 juta dana daripada syarikat pelaburan negara masuk ke akaun 880 Najib melalui lima pemindahan antara Oktober dan Disember, 2014.

Urus niaga RM45 juta yang melibatkan akaun 880 itu menjadi subjek tiga daripada empat pertuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Najib yang juga bekas menteri kewangan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan diteruskan petang ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS