Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Reman suspek kes rogol lolos 19 tahun disambung tiga hari
Diterbitkan:  Jun 13, 2022 11:19 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Reman terhadap seorang lelaki berkaitan kes rogol yang berlaku 19 tahun lepas (2003) disambung tiga hari lagi sehingga 16 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat ketika dihubungi berkata perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Parit Buntar hari ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dilapor, suspek berusia 40 tahun itu sebelum ini telah direman empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Bagan Serai bermula 10 Jun sehingga hari ini.

Polis berjaya menahan suspek yang disyaki terlibat kes rogol di Bagan Serai, Perak selepas 19 tahun berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilapor berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 malam di sekitar Bagan Serai, Perak pada Khamis.

Menurutnya, hasil padanan data profil asid deoksiribonukleik (DNA), polis percaya dapat menyelesaikan kes rogol yang berlaku pada 2003 dengan tertangkapnya suspek.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS