Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kuasai bahasa Malaysia bukan bermakna korbankan bahasa lain - Anwar
Diterbitkan:  Jun 12, 2022 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Jangan jadikan isu bahasa sebagai mainan campur tolak (zero sum-game) kerana penggunaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris adalah sama penting, kata ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, mereka yang melakukan "tafsiran nasionalistik sempit" terhadap isu bahasa tidak seharusnya dilayan.

“Ya, rakyat Malaysia mesti komited dengan Bahasa (Malaysia), bukan sebagai retorik politik, tetapi (kita harus) menyokong semua usaha yang mungkin untuk meningkatkan kualiti dan tahap penguasaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu.

“Ini bermakna (kita) perlu menyokong institusi, menterjemah karya agung ekonomi, sains, sastera, teknologi dan sebagainya.

“Ini mesti dilakukan tetapi ini tidak sepatutnya mengorbankan bahasa lain. Bahasa Inggeris, pada fikiran saya, masih sangat penting (sebagai) bahasa antarabangsa.

“Biasanya, laporan sentiasa menjadi mainan campur tolak (di mana) jika saya sebut Bahasa Malaysia, itu bermakna saya tidak suka bahasa Inggeris dan jika saya menyokong bahasa Inggeris, saya tidak suka Bahasa Malaysia,” kata Anwar kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Kerajaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dilihat berusaha mempertingkatkan penggunaan Bahasa Malaysia secara lebih meluas, termasuk di pentas antarabangsa.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan menggalakkan penjawat awam menggunakan Bahasa Malaysia kepada diplomat asing dengan disertai ioleh penterjemah, meskipun mereka boleh bercakap dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, G25, sebuah organisasi yang terdiri daripada bekas penjawat tinggi awam menyatakan kebimbangan terhadap langkah tersebut.

Pada Mac lalu, Ismail juga mengumumkan bahawa pelajar asing yang belajar di Malaysia akan diwajibkan untuk belajar Bahasa Malaysia.

Anwar hari ini berkata sudah tiba masanya untuk menyelesaikan isu tersebut yang telah berlarutan sejak sekian lama.

“Marilah kita selesaikan perkara ini selepas berdekad-dekad merdeka, bahawa kita di sini komited kepada bahasa kebangsaan kita dan komited kepada bahasa yang penting atau kritikal untuk meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi negara ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS