mk-logo
Berita
'Tidak bermaruah' - Puad persoal Majlis Peguam kunci mulut kes Nazlan
Diterbitkan:  Jun 12, 2022 2:20 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Anggota Dewan Undang Negeri (Adun) Rengit, Mohd Puad Zarkashi tampil mempersoalkan tindakan Majlis Peguam yang berdiam terhadap perkembangan kes Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Melabel Majlis Peguam sebagai 'tidak bermaruah' dan 'tiada integriti', Puad mendakwa badan itu bersikap sangat selektif dalam banyak isu.

"Badan itu sepatutnya mendesak diwujudkan tribunal menyiasat hakim Nazlan.

"Amat pelik kenapa dari awal lagi Majlis Peguam tidak menuntut Nazlan tarik diri daripada membicarakan kes SRC, (bekas perdana menteri) Najib Razak,” katanya.

Katanya, Majlis Peguam sebelum ini pernah mendesak hakim yang sedang membicarakan kes SRC ketika itu Mohd Sofian Abd Razak menarik diri kerana dia adik kepada Adun Benta dari Umno, Mohd Soffi.

Selain itu, Puad mendakwa Nazlan juga dikaitkan dengan konflik kepentingan kerana pernah menjadi general counsel (penasihat am) dan setiausaha syarikat kepada Kumpulan Maybank.

Maybank Investment Bank Bhd adalah badan yang mencadangkan penubuhan SRC International.

"Sekarang ini bocor pula minit mesyuarat ahli lembaga pengarah Maybank yang turut dihadiri oleh Nazlan. Semasa bicara, Nazlan dakwa SRC adalah “baby” kepada Najib.

"Rupa-rupanya Nazlan terlibat, kerana SRC diasas oleh Maybank Investment, 1MDB melantik Maybank untuk buat kajian penubuhan SRC melalui anak syarikatnya Bina Fikir.

"Sebelum ini beberapa hakim menarik diri (recused) daripada membicarakan kes kes yang mereka didakwa ada kepentingan. Kenapa Nazlan tidak lakukan perkara sama," soal Puad.

Empat pesuruhjaya kehakiman - Quay Chew Soon, Liza Chan Sow Keng dan Mohd Arief Emran Arifin dan Adlin Abdul Majid sebelum ini menarik diri daripada terlibat dalam perbicaraan sama ada 1MDB atau SRC.

"Terlalu banyak kontroversi yang melibatkan Nazlan. Rakyat mahu tindakan segera. Apa perkembangan siasatan dakwaan money laundering yang melibatkan beliau.

"Saya cabar Majlis Peguam agar tampil bersuara. Desak Nazlan disiasat oleh Tribunal Khas dan penghakimannya terhadap kes SRC Najib digugurkan. Bagi alasan kamu, jika tidak setuju," tegas Puad.

Terdahulu wujud dakwaan bahawa Nazlan sedang disiasat kerana lebih RM1 juta yang didakwa diterimanya daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang dikaitkan dengan 1MDB.

Dia kemudiannya membuat laporan polis dan menafikan dakwaan itu sebagai palsu dan berniat jahat.

Pada 28 Julai 2020, Nazlan yang juga hakim Mahkamah Tinggi ketika itu mendapati Najib bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan jenayah pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta daripada SRC.

Pada 8 Dis tahun lalu pula, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan berkenaan.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS