Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis sahkan terima laporan kecurian balak HSK Nenggiri

Polis mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes kecurian balak yang berlaku di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, Pengerusi Save Kelantan, Husam Musa, mendedahkan salinan laporan polis berhubung kejadian yang dibuat oleh pengawas hutan pada 2 Jun lalu.

Susulan itu, Husam (gambar, bawah) turut mencadangkan supaya Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan.

"Menteri besar Kelantan berada di Kampung Star, Nenggiri, Gua Musang pagi ini. Majlis pecah tanah Empangan Nenggiri.

"Saya cadangkan menteri besar masuk sekejap ke lokasi kecurian balak di HSK Nenggiri, selepas selesai majlis pecah tanah.

“Alang-alang dah berada di sana, tunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap harta dan khazanah rakyat dan negeri Kelantan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini

Husam menegaskan sepatutnya tiada pilih kasih dalam menegakkan undang-undang.

"(MB Ahmad Yakob) cemarkan diri sekejap, masuk dan tinjau sendiri.

“Ada atau tidak kecurian balak besar-besaran di sana," katanya yang juga bekas exco kanan Kelantan.

Sebagai rekod, Husam melalui beberapa hantaran di media sosial sebelum ini mendakwa berlaku pembalakan di kompartmen 26 di HSK Nenggiri.

Antara lain menurutnya, kompartmen 26 diwartakan sebagai hutan simpan perlindungan namun diluluskan untuk pembalakan kepada anak syarikat kerajaan negeri Kelantan, Daulah Najah Sdn Bhd.

Dalam perkembangan itu, Husam menyeru supaya kerajaan Kelantan bersikap jujur dan telus.

"Allah maha melihat. Kan semakin susah? Kalau masih tak nak bertindak, memungkinkan rakyat waras mengesyaki sesuatu yang tidak baik," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS