mk-logo
Berita
2,000 banduan akhir ke tali gantung? Nasib diketahui 13 Jun - Laporan
Diterbitkan:  Jun 12, 2022 10:08 AM
Dikemaskini: 2:08 AM

Susulan keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori, nasib kira-kira 2,000 banduan akhir masih menjadi tanda tanya.

Utusan Online melaporkan Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata satu sidang akhbar akan diadakan pada Isnin ini untuk memberi penjelasan mengenai status pesalah yang telah disabitkan hukuman gantung sampai mati.

“Saya akan membuat sidang akhbar dan kenyataan ber­hu­bung perkara ini pada 13 Jun,” katanya ringkas.

Pelaksanaan hukuman mati banduan akhir sebelum ini ditangguhkan berikutan pengumuman moratorium oleh kerajaan PH sejak 2018 yang mahu mengkaji hukuman mati sebagai langkah reformasi perundangan negara.

Ganbar fail.

Semalam, Presiden Badan Peguam Malaysia Karen Cheah Yee Lynn (gambar, atas, tengah) menyarankan kerajaan meneliti ke arah meringankan hukuman mati terhadap semua banduan akhir.

"Kami menyokong agar semua hukuman mati ditukar kepada hukuman penjara, setimpal dengan berat kesalahan yang dilakukan, dan mengambil kira faktor mitigasi dan keadaan tersendiri yang menyelubungi setiap kes.

"Hanya selepas itu barulah hukuman yang dikenakan adalah adil dan berkesan," katanya.

Cheah berkata keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori adalah satu langkah ke arah itu tetapi berkata Putrajaya harus bergerak ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman bunuh.

“Keputusan kabinet jelas betul dan satu langkah ke arah yang betul, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati," jelasnya.

Kelmarin, Wan Junaidi mengumumkan kerajaan akan meminda 11 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan satu di bawah Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori bagi memberikan budi bicara hakim memutuskan hukuman itu.

Bagaimanapun, menteri di JPM itu menambah, kerajaan masih belum menetapkan tempoh masa untuk pindaan itu.

Katanya, banyak bidang yang perlu diperhalusi termasuk cadangan penubuhan tribunal bagi mengkaji kes-kes yang sudah menjalani hukuman mati mandatori.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS