Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan Thailand mula edar sejuta pokok ganja kepada rakyatnya

GLOBAL | Thailand melancarkan kempen mengagihkan satu juta tumbuhan ganja percuma kepada rakyatnya pada hari Jumaat, sehari selepas penggunaan untuk tujuan komersial tidak lagi menjadi jenayah.

Bagaimanapun, kerajaan negara jiran itu tidak menggalakkan orang ramai daripada menggunakan ganja untuk 'khayal' dan memberi amaran bahawa mereka masih boleh melanggar undang-undang.

Thailand menghalalkan ganja perubatan pada 2018 untuk kegunaan perubatan tetapi kini berhasrat untuk membangunkannya sebagai tanaman kontan tunai dan membina industri tempatan yang menguntungkan.

"Jangan gunakannya dan duduk sambil tersenyum di rumah dan tidak ada apa-apa kerja yang selesai. Perkara itu bukan dasar kami," kata Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul (gambar, bawah).

Dia berkata demikian pada majlis pelancaran di timur laut wilayah Buriram, dengan 1,000 tumbuhan pertama sedang diedarkan.

"Kami telah memadamkan stigma, ia dihakis seperti membuang tatu.

“Jangan biarkan ia kembali," katanya sambil menambah ganja harus digunakan untuk memperbaiki kesihatan.

Pada hari Khamis, ganja telah dinyahsenarai daripada senarai narkotik negara itu, membolehkan orang ramai menanam tumbuhan tersebut jika mereka mendaftar melalui aplikasi kerajaan.

Orang ramai beratur mendapatkan bekalan pokok ganja percuma daripada kerajaan Thailand.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menggalakkan penggunaan bagi tujuan rekreasi manakala merokok ganja di tempat awam boleh membawa kepada hukuman penjara dan denda.

Kompaun psikoaktif dalam ganja, tetrahydrocannabinol atau THC, dihadkan kepada 0.2 peratus dalam ekstrak ganja dan produk yang boleh dijual di Thailand, termasuk minyak dan manisan gula-gula.

Menanam ganja di rumah memerlukan pendaftaran melalui aplikasi telefon pintar kerajaan, PlookGanja yang bermakna "tanam ganja".

Anutin berkata lebih 300,000 orang telah mendaftar dengan aplikasi itu, yang mempunyai jutaan muat turun daripada orang yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ganja.

Menurut jabatan pemulihan Thailand, 3,000 orang telah dibebaskan dari penjara selepas ditahan atas jenayah berkaitan ganja sejak undang-undang diubah minggu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS